Berita

KeADILan Jempol mahu Aminuddin terus menerajui Negeri Sembilan

Keanggotaan KeADILan Negeri Sembilan sudah cecah 49 ribu orang

JEMPOL: Parti KeADILan Rakyat (KeADILan) Cabang Jempol mahu YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun terus memimpin Majlis Pimpinan KeADILan (MPN) Negeri Sembilan dan Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan.

Ketua Cabang KeADILan Jempol, Saudara Rebin Birham berkata, kepimpinan KeADILan Cabang Jempol yakin di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Aminuddin, kedudukan KeADILan dan Pakatan Harapan serta Kerajaan Negeri Sembilan adalah kukuh.

“Sebagai rekod, jumlah keanggotaan KeADILan Negeri Sembilan pada tahun 2018 ialah seramai 18,000 orang. Setakat Jun 2021, keanggotaan KeADILan Negeri Sembilan sudah mencecah 49,000 orang.

“Ini bermakna dalam tempoh 30 bulan, seramai 31,000 orang telah menyertai KeADILan Negeri Sembilan. Secara purata seramai 1,000 orang menjadi anggota KeADILan Negeri Sembilan pada setiap bulan.

“Ini satu bukti yang nyata, KeADILan Negeri Sembilan semakin kukuh di bawah kepimpinan YAB Dato’ Seri Aminuddin,” kata Rebin.

Prestasi Aminuddin sebagai Menteri Besar membanggakan

Rebin yang juga Ahli MPN Negeri Sembilan berkata, Kerajaan Negeri Sembilan di bawah pentadbiran YAB Dato’ Seri Aminuddin berjaya memperoleh kutipan hasil sebanyak RM447.88 juta pada tahun 2020, walaupun berdepan dengan pandemik Covid-19.

“Kutipan hasil Kerajaan Negeri yang mencapai 98 peratus ini turut mendapat pujian DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir ketika baginda bertitah merasmikan istiadat pembukaan Persidangan Pertama Penggal Keempat, Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 pada 3 September lalu.

“Kami seluruh Ahli Jawatankuasa KeADILan Jempol termasuk sayap wanita dan Angkatan Muda KeADILan (AMK) sentiasa berdiri teguh di belakang Presiden Keadilan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN), Dato’ Seri Aminuddin Harun yang juga merupakan Menteri Besar Negeri Sembilan,” ujarnya lagi.

 

Show More

Related Articles

Back to top button