Berita

Wanita PH Negeri Sembilan memacu pemerkasaan wanita, keluarga dan kebajikan

Wanita Pakatan Harapan Negeri Sembilan angkat falsafah ''hormati, sayangi dan hargai Wanita'

Wanita Pakatan Harapan Negeri Sembilan (Wanita PH NS) telah pun mengadakan mesyuarat pertamanya pada 28 Disember 2020, di Pusat Khidmat Rakyat DUN Bukit Kepayang.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh parti komponen iaitu KeADILan, DAP dan Amanah yang diwakili oleh pimpinan tertinggi sayap wanita masing-masing.

Wanita Pakatan Harapan Negeri Sembilan menyambut baik keputusan YAB Menteri Besar yang telah memperuntukkan sejumlah RM18.3 juta semasa Belanjawan 2021 untuk pembangunan wanita, keluarga dan kebajikan di negeri ini.

Antara inisiatif yang boleh dinikmati oleh wanita dan keluarga di Negeri Sembilan ialah Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS), Perkhidmatan Bas Percuma, B4U, Rumah Minda Ceria, Geran Aktiviti Belia dan Beliawanis, C4U, PH GEM, i-SURI, Food Bank, Bantuan Peralatan Implan Orthopedik, Takaful Khairat Kematian dan Tabung Hemodialisis antara yang terkandung di dalam 53 Inisiatif Belanjawan 2021.

Komitmen YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun meneruskan Bantuan Ibu Tunggal atau Care For U (C4U) amat dihargai dimana inisiatif ini telah dimanfaatkan oleh hampir 5,000 orang ibu tunggal sejak ia diperkenalkan pada tahun 2019.

Peruntukan kepada Power House Wanita Gemilang (PH GEM) juga telah ditambah sebanyak RM0.1 juta menjadikannya RM1.6 juta bagi tahun 2021. Langkah ini bagi melipatgandakan usaha pemerkasaan wanita menerusi program bimbingan dan latihan kemahiran yang sudah disertai 27,416 orang peserta. Selain itu, caruman ke dalam akaun KWSP suri rumah dibawah program i-SURI akan diteruskan bagi menjaga kebajikan suri rumah yang tidak bekerja agar sentiasa terbela.

Wanita Pakatan Harapan Negeri Sembilan melihat usaha dan inisiatif yang dibentangkan oleh YAB Menteri Besar memberi isyarat yang positif bahawa Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Sembilan amat mengambil berat akan wanita di Negeri Sembilan. Belanjawan 2021 kali ini terbukti memfokuskan penghargaan terhadap wanita, cakna akan keluarga dan membela kebajikan rakyat Negeri Sembilan.

Bagi menyusun, memperkuatkan sekaligus memberikan impak yang lebih padu terhadap gerakerja serta hala tuju Wanita Harapan khususnya menjelang PRU-15, maka satu keputusan konsensus telah diambil iaitu pembentukan satu Akademi PH GEM; akan julung kali mengadakan simulasi Sidang DUN Wanita dan juga memperbanyakkan program pada tahun hadapan.

Berikut adalah Takwim Wanita PH NS :

(i) Mac 2021 – Hari Wanita Sedunia
(ii) April 2021 – Simulasi Sidang DUN Wanita
(iii) Jun 2021 – Hari Alam Sekitar Sedunia
(iv) Julai 2021 – Retreat Wanita PH NS
(v) Sept 2021 – Sidang Meja Bulat Wanita
(vi) Okt 2021 – Konvensyen Wanita PH NS
(vii) 25 Nov sehingga 10 Dis Tangani Keganasan Terhadap Wanita.

Wanita Pakatan Harapan Negeri Sembilan juga telah membincangkan beberapa perkara penting berkaitan gerak kerja Wanita dan persiapan memenangi PRU-15 khususnya bagaimana memperkasakan wanita dan penambahan penyertaan wanita dalam semua sektor, terutamanya bidang politik.

Wanita Pakatan Harapan Negeri Sembilan komited untuk terus mengangkat falsafah ‘hormati, sayangi dan hargai Wanita’ merentasi setiap inisiatif, aktiviti dan dasar sama ada di peringkat Parti mahupun Kerajaan pada masa kini dan akan datang.

Wanita PH NS komited mengarusperdanakan peranan, pemikiran dan penglibatan wanita dalam pelbagai sektor seperti alam sekitar, kesihatan, pendidikan, kebajikan sosial dan ekonomi dan hak asasi.

Wanita PH NS akan bersama-sama dengan semua pihak untuk berjuang mengembalikan mandat rakyat dan terus memperjuangkan kehidupan yang lebih sejahtera untuk rakyat Negeri Sembilan tidak mengira kaum, keturunan, agama dan kecenderungan politik.

YB Mary Josephine
Ketua Wanita DAP Negeri Sembilan

Puan Norwani Ahmat
Ketua Wanita AWAN Negeri Sembilan
Timbalan Ketua Wanita Pakatan Harapan Negeri Sembilan

Puan Amni Idris
Ketua Wanita KeADILan Negeri Sembilan
Timbalan Ketua Wanita Pakatan Harapan Negeri Sembilan

YB Nicole Tan Lee Koon
Ketua Wanita Pakatan Harapan Negeri Sembilan

Show More

Related Articles

Back to top button