BeritaMenarik

Jangan terpengaruh khabar angin tanah FELDA akan dibeli pemaju luar negara

JELEBU: EXCO (Kanan) Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi, YB Datuk Seri Jalaluddin Alias mengingatkan peneroka FELDA di Negeri Sembilan supaya tidak terpengaruh dengan khabar angin kononnya tanah ladang mereka akan dibeli oleh pemaju dari luar negara.

Jalaluddin berkata, perkara ini pernah berlaku pada tahun 2020 sehingga menimbulkan situasi huru hara dan tidak tenteram di kalangan peneroka.

“Kejadian dan pengalaman itu sepatutnya dijadikan iktibar supaya peneroka FELDA tidak mudah dipengaruhi dengan khabar angin yang tidak benar.

“Justeru itu, pengurus tanah rancangan FELDA di seluruh negeri ini diingatkan supaya tidak membenarkan pihak ketiga menjalankan program dan promosi berkaitan pembelian tanah ladang milik peneroka.

“Apabila ia membabitkan kepentingan peneroka, pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri akan membuat pengumuman apatah lagi sekiranya ia membabitkan pelaburan ratusan bilion ringgit seperti yang didakwa sebelum ini,” jelas Jalaluddin.

Kata Jalaluddin, setakat hari ini kerajaan negeri juga masih tidak ada menerima apa-apa permohonan berkaitan pembelian tanah ladang peneroka FELDA berkenaan.

“Pengurus tanah rancangan perlu bertindak sekiranya ada pihak ketiga yang datang dan mahu mengadakan perjumpaan dengan peneroka berkaitan pembeli tanah itu.

“Jangan benarkan mereka datang untuk menimbulkan situasi huru-hara dikalangan warga peneroka, dijanjikan kononnya tanah akan dibeli dengan harga lebih tinggi,” ujar Jalaluddin yang juga ADUN Pertang.

Show More

Related Articles

Back to top button