Berita

Yus: Penyelesaian masalah banjir Kampung Petaseh dalam tindakan

Pembersihan sungai dan baik pulih sistem perparitan antara pelan tindakan segera

PERTANG: Permasalahan banjir di Kampung Petaseh telah mendapat perhatian Pejabat Penyelaras DUN Pertang dan kini dalam proses pelan tindakan penyelesaian.

Susulan dari kejadian banjir di Kampung Petaseh minggu lepas, Penyelaras DUN Pertang, Tuan Yus Mazmi Ahmad Yusof telah membuat lawatan ke lokasi punca banjir di kampung tersebut.

“Lawatan ini lebih menjurus kepada mengenal pasti punca kejadian banjir yang kerap berlaku di sekitar Kampung Petaseh.

“Dalam lawatan ini beberapa cadangan telah dibincangkan dalam menangani masalah banjir berulang.

“Pembersihan sungai adalah pelan jangka pendek yang akan disegerakan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Jelebu,” kata Yus Mazmi.

Yus Mazmi berkata, pihak JPS juga akan meningkatkan kualiti dan membaik pulih sistem saliran dan perparitan yang melibatkan sungai dan parit utama serta longkang yang sedia ada.

“Sementara itu, penambahbaikan sistem saluran Sungai Jelatang dan Sungai Petaseh adalah pelan jangka panjang dari pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Jelebu.

“Kerjasama dari semua agensi yang berkaitan sangat perlu bagi memastikan usaha ini berjaya dilaksanakan demi keselesaan penduduk setempat,” katanya.

Yus Mazmi merakamkan penghargaan kepada Pegawai Daerah Jelebu, Tuan Abdul Rahim A. Aziz: JKR Jelebu, JPS Jelebu, Majlis Daerah Jelebu, Jabatan Kebajikan Masyarakat Jelebu, Baitulmal Jelebu dan komuniti Kampung Petaseh di atas kerjasama yang sangat baik pada sesi lawatan ini.

Dalam lawatan ini pihak Baitulmal Jelebu turut menyampaikan sumbangan barang keperluan dapur kepada 17 mangsa banjir.

Show More

Related Articles

Back to top button