Aktiviti

Zainal Fikri menjejak peninggalan sejarah lama Sungai Lui

SUNGAI LUI: Pejabat Penyelaras DUN Sungai Linggi dengan kerjasama MPKK Sungai Lui telah mengadakan satu ekspedisi mengeksplorasi warisan sejarah lama Sungai Lui.

Ekspedisi ini diketuai oleh Penyelaras DUN Sungai Lui, Tuan Zainal Fikri Abd Kadir dan Felo Penyelidik Kanan ATMA, Universiti Kebangsaan Malaysia, YBhg Profesor Madya Dato’ Paduka Dr Mohd Rosli Saludin bersama kepimpinan MPKK Sungai Lui.

“Tujuan ekspedisi ini untuk mengimbas kembali sejarah Sungai Lui yang mungkin telah dilupakan oleh generasi sekarang.

“Kami mengorak langkah dengan mengadakan eksplorasi warisan sejarah untuk melihat sendiri kesan-kesan peninggalan sejarah lama,” kata Zainal Fikri.

Zainal Fikri berkata, Kampung Sungai Lui ini diteroka pada tahun 1933 oleh sekumpulan 120 orang Melayu yang berasal dari kawasan Kuala Pilah, Kuala Kepis, Ulu Jempol dan Juasseh.

Penempatan di Kampung Sungai Lui semakin berkembang dan dianggarkan seramai 600 orang Cina dari Pahang, Bahau dan Kuala Pilah telah berhijrah ke sini.

“Tragedi Sungai Lui bermula dalam tahun 1942 di mana sepasukan tentera Jepun yang berpusat di Bahau telah menyerang Kampung Sungai Lui kerana salah seorang daripada pemberi maklumat mereka telah ditangkap dan dibunuh oleh penempatan di sini dan ianya telah menaikkan api kemarahan tentera Jepun kerana tiada siapa yang mengaku bertanggungjawab di atas kematian tersebut.

“Setelah itu, tentera Jepun mula membunuh orang-orang Cina di sini dan mayat-mayat itu telah ditanam di dalam sebuah lubang besar yang sekarang ini menjadi tugu peringatan Sungai Lui.

“Satu penyelidikan yang lebih mendalam perlu dijalankan kerana masih banyak persoalan yang perlu dicari jawapannya.

“Semoga pencarian Profesor Madya Dato’ Paduka Dr Mohd Rosli dapat merungkai sejarah ini,” kata Zainal Fikri.

Dr Mohd Rosli juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pakar Warisan Adat, Jabatan Warisan Negara.

Show More

Related Articles

Back to top button