Berita

Zon Hijau Covid-19: Dua Pengurusan Perumahan Strata terima insentif kewangan

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menyerahkan insentif penyertaan RM1,000 sebagai tanda penghargaan dan sokongan kepada dua Pengurusan Perumahan Strata iaitu Perbadanan Pengurusan Taman Seremban Putra dan Perbadanan Pengurusan Pangsapuri Desa Palma.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri Aminuddin Harun berkata, dua Pengurusan Perumahan Strata ini telah berjaya ke peringkat pencalonan akhir (kebangsaan) Pertandingan Komuniti Bandar Zon Hijau Covid-19.

“Pertandingan ini telah dilaksanakan dalam dua kategori, iaitu kategori komuniti bandar yang diterajui oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan komuniti luar bandar yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

“Program ini bertujuan menggalakkan komuniti untuk membudayakan norma baharu dan memperkasakan peranan komuniti bersama-sama pihak kerajaan dalam memerangi pandemik Covid-19 serta seterusnya memastikan warga komuniti bebas daripada jangkitan Covid-19,” kata beliau.

Tema pertandingan: ‘Komuniti Perkasa, Negara Sejahtera’

Aminuddin berkata, Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sejumlah RM1.7 juta bagi hadiah pertandingan ini, iaitu sebanyak RM50,000 dalam bentuk nilai projek pembangunan yang akan diberikan kepada Komuniti Zon Hijau Covid-19 yang dipilih sebagai pemenang.

“Sebanyak 20 pemenang bagi kategori luar bandar, manakala 14 pemenang bagi kategori bandar akan dipilih daripada seluruh negara.

“Saya mendoakan kedua-dua wakil Negeri Sembilan ini akan memperoleh kejayaan di peringkat nasional.

“Semoga usaha yang ditunjukkan ini akan menjadi pemangkin kepada Pengurusan Perumahan Strata yang lain di negeri ini,” ujar Aminuddin yang juga ADUN Sikamat.

Show More

Related Articles

Back to top button