
Negeri Sembilan merupakan negeri yang berstatus ‘sedang membangun’ dalam ruang lingkup dan caranya yang tersendiri.
77 peratus keluasan Negeri Sembilan terdiri daripada kawasan yang dikategorikan sebagai luar bandar.
Ini sekali gus menjadikan Negeri Sembilan sebagai sebuah negeri luar bandar, namun tetap mempunyai kepesatan perbandarannya yang tersendiri, yakni Bandaraya Seremban.
Tidak hairanlah mengapa Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan yang dibentuk atas percaturan aspirasi antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) memberi prioriti terhadap sektor luar bandar.
Melalui aspirasi ini, Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun telah mengadaptasikan kepercayaannya kepada Exco Kanan, Dato’ Seri Jalaluddin Alias, selaku Exco yang bertanggungjawab kepada pembangunan luar bandar.
Sealiran dengan itu, Dato’ Seri Jalaluddin telah membawa naratif untuk mengurangkan jurang pembangunan antara kawasan bandar (Seremban) dengan kawasan di luar bandar.
Acapkali keluar dari mulut beliau bahawa, negeri ini harus mempercepatkan pembangunan infrastruktur yang lebih inklusif di kawasan luar bandar, atau desa.
Padanya, masyarakat di luar bandar mempunyai hak seumur hidup untuk mendapatkan infrastruktur yang ideal walaupun jarak kampung yang mereka duduki berpuluh kilometer dari kawasan bandar.
Tidak sekadar menunggu, Kerajaan Perpaduan telah mengorak langkah dengan menggariskan elemen ‘Pemerkasaan Komuniti’ sebagai bidang tumpuan keempat di dalam Belanjawan Negeri Sembilan 2025.
Dengan keseluruhan peruntukan sebanyak RM16.47 juta, bidang tumpuan yang majoritinya tertumpu kepada masyarakat luar bandar ini, adalah bidang ketiga tertinggi daripada keseluruhan peruntukan sebanyak RM96.2 juta (melibatkan sembilan bidang tumpuan dan 66 inisiatif kepada rakyat).
Yang pastinya, melalui pemerkasaan komuniti ini, ia bakal memberi manfaat berganda kepada kehidupan masyarakat di peringkat luar bandar.
Sejumlah RM1 juta wang rakyat akan dibelanjakan untuk proses pencahayaan kampung, bertujuan untuk keselamatan dan kesejahteraan majoriti masyarakat Negeri Sembilan yang berada di luar bandar.
Kerajaan ini tidak akan membiarkan kawasan luar bandar bergelap tanpa ada sistem lampu yang baik, seperti sebelum ini.
Dalam memakmurkan ekonomi dan kesejahteraan sosial luar bandar juga, Kerajaan Perpaduan merangka Pelan Pembangunan Luar Bandar Negeri Sembilan 2026-2045 dengan peruntukan sebanyak RM400,000.
Saya percaya, di tahun 2045 nanti, kehidupan luar bandar Negeri Sembilan akan lebih berbeza dan harmoni berbanding zaman sekarang.
Tidak terhenti disitu, Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan juga memberi penekanan terhadap masyarakat di kawasan FELDA.
Program Sentuhan MADANI FELDA yang diperuntukkan sebanyak RM500,000 adalah permulaan kepada pembelaan yang penuh ikhlas daripada pemimpin BN dan PH.
Tidak termasuk dengan Program Pengukuhan Komuniti MADANI yang merupakan satu inisiatif untuk mengukuhkan nilai-nilai masyarakat maju, sejahtera dan holistik, dengan peruntukan sebanyak RM500,000.
Sebagai sebuah negeri luar bandar, Negeri Sembilan tidak boleh terlepas dengan masyarakat Orang Asli yang turut menjadi kumpulan masyarakat terpenting dan penyumbang kepada kehebatan negeri.
Atas kesungguhan Exco Kanan dan pasukannya dalam memperjuangkan isu-isu masyarakat Orang Asli, maka tidak hairanlah mengapa Kerajaan Negeri terus meletakkan pembangunan komuniti Orang Asli sebagai bidang keutamaan di tahun 2025.
RM315,000 telah diperuntukkan sebagai geran khas buat Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) kepada 43 buah Kampung Orang Asli yang berdaftar.
Kerajaan tidak mahu masyarakat Orang Asli di negeri ini berada di takuk yang lama dan sama, justeru geran khas yang disalurkan kepada JPKKOA itu adalah satu galakan kepada mereka untuk bersaing sehabis baik dengan masyarakat majoriti di negeri ini.
Ini baru sedikit. Tidak sampai 20 peratus daripada keseluruhan usaha dan tumpuan yang diberikan oleh Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan bagi mengupayakan masyarakat MADANI di Negeri Sembilan, terutama bagi tahun kedua pemerintahan perpaduan ini.
Sudah pasti, setiap entiti masyarakat akan terangkum dalam satu aspirasi besar pihak kerajaan demi membina sebuah ‘Negeri MADANI’ paling terkehadapan di negara kita.
Untuk masyarakat keseluruhannya, marilah kita sama-sama berpegang kepada firman Allah SWT didalam Surah Ibrahim ayat tujuh yang membawa maksud: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku amat pedih.”
Perbanyakkan bersyukur kepada Tuhan kerana kita dipinjamkan sebuah urustadbir Kerajaan Negeri yang penuh strategi dan bertatasusila ini.
Ia akan memungkinkan keharmonian hidup bermasyarakat di Negeri Sembilan terbentuk dengan baik dan berpanjangan, Insya-Allah.
Sarfarizmal Md Saad
Pegawai Khas Media Exco Kanan