Orang Negeri Sembilan kena tipu RM80 juta

SEREMBAN: Kes jenayah komersial di Negeri Sembilan mencatat peningkatan dengan kerugian direkodkan berjumlah RM47.74 juta sejak Januari 2025 hingga kini, berbanding RM33.84 juta bagi tempoh sama tahun lepas.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun menasihatkan rakyat di negeri ini jangan terpengaruh dengan pelbagai helah atau modus operandi scammer; kes penipuan membabitkan pembelian dalam talian, menjadi keldai akaun, terpedaya dengan tawaran tidak masuk akal, kes pinjaman tidak wujud ataupun love scam.
“Penipuan dalam talian mencatatkan 82 peratus kes berbanding jenayah komersial lain.
“Kes direkodkan antaranya melibatkan penipuan telekomunikasi sebanyak 480 kes, penipuan pembelian dalam talian (248), pelaburan tidak wujud (208), pinjaman tidak wujud (151) dan love atau parcel scam (22).
“Polis turut mengesan modus operandi terbaharu digunakan sindiket penipuan iaitu melibatkan kes penipuan phone scam dengan menyamar sebagai ejen kad Touch ‘n Go dan pegawai polis.
“Sebagai penyelesaian, mangsa diminta memberikan maklumat berkaitan harta (wang dan barang kemas) seterusnya diminta memindahkan wang ke dalam akaun bank diberikan serta menyerahkan barang kemas kepada ‘runner’ untuk tujuan siasatan.
“Nasihat saya mudah, bijak berfikir dan sentiasa berhati-hati,” kata Aminuddin.
Aminuddin menasihatkan orang ramai agar bertanya atau merujuk terus kepada agensi berkenaan untuk kepastian apabila sesuatu tawaran atau ugutan dibuat menerusi panggilan telefon.
“Kalau dapat panggilan yang menyamar sebagai pegawai polis atau pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pergi ke balai polis atau pejabat LHDN yang berdekatan untuk memastikan apa didakwa dalam panggilan telefon itu benar atau tidak.
“Jangan malas dan akhirnya tertipu ribuan atau jutaan wang ringgit.
“Jangan terpedaya dengan tawaran pelaburan yang dijanjikan kadar dividen yang tidak masuk akal,” ujar Aminuddin lagi.
Aminuddin berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Penghargaan Pesara Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2024 di Palm Mall Hotel, Seremban.