Seni, budaya perlu seiring pembangunan bandar: NGA
IPOH: Pembangunan bandar yang mampan tidak boleh hanya tertumpu kepada pembinaan infrastruktur fizikal semata-mata, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan elemen seni, budaya dan hubungan kemanusiaan bagi membentuk komuniti yang mempunyai identiti serta semangat kekitaan yang kukuh.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, walaupun kerajaan komited meningkatkan kemudahan awam, menaik taraf infrastruktur serta membina lebih banyak rumah mampu milik, pembangunan bandar perlu dilihat dalam skop yang lebih menyeluruh.
“Kemajuan sesebuah bandar tidak seharusnya diukur berdasarkan pencapaian fizikal semata-mata kerana tanpa seni, budaya dan nilai kemanusiaan, sesebuah bandar berisiko kehilangan jati dirinya.
“Kita mampu membina bangunan pencakar langit bertaraf dunia, namun jika penduduknya tidak dapat menikmati kebahagiaan dan semangat kekitaan, maka kita belum mencapai kejayaan sebenar.
“Seni, budaya dan pelbagai inisiatif komuniti berperanan penting dalam menjadikan bandar bukan sekadar tempat tinggal, malah ruang yang mampu mewujudkan rasa kebersamaan, diterima dan menjadi sebahagian daripada komuniti setempat,” kata Nga.
Nga turut menyifatkan program berteraskan seni dan budaya sebagai platform terbaik untuk memperkukuh kefahaman, memupuk sifat belas kasihan serta mengeratkan hubungan hormat-menghormati dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Pada masa sama, beliau berkata muzik kekal menjadi medium penyatuan yang berkesan kerana mampu merentasi batas bahasa, budaya dan geografi.
Menurutnya, kepelbagaian yang dimiliki Malaysia perlu dilihat sebagai satu kelebihan kerana ia menyumbang kepada kreativiti, daya tahan dan dinamisme negara.



