Berita

Penjaja, peniaga kecil perlu terus diperkasa, akses pembiayaan dan digital diperluas: Anwar

KAJANG: Komuniti penjaja dan peniaga kecil perlu diberikan lebih banyak ruang serta peluang untuk berkembang menerusi akses pembiayaan, pendigitalan dan peningkatan kemahiran bagi memastikan mereka kekal berdaya saing dalam persekitaran ekonomi semasa.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, golongan itu mempunyai peranan besar dalam menghidupkan ekonomi setempat, selain menjadi sumber rezeki kepada ribuan keluarga melalui aktiviti perniagaan harian.

Menurut beliau, komitmen memperkukuh sektor berkenaan turut diberikan perhatian dalam Belanjawan 2027 sebagai sebahagian usaha memastikan manfaat pembangunan negara dapat dirasai oleh masyarakat hingga ke peringkat akar umbi.

“Komuniti penjaja dan peniaga kecil merupakan sebahagian penting daripada denyut nadi ekonomi negara. Selain menyediakan barangan dan perkhidmatan keperluan harian, mereka turut menjadi sumber rezeki kepada ribuan keluarga serta menghidupkan ekonomi setempat,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sehubungan itu, beliau mengumumkan peruntukan RM1 juta kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) untuk diselaraskan bagi membantu persatuan penjaja dan peniaga kecil.

Anwar berkata, bantuan itu diharap dapat memperkukuh fungsi persatuan dalam memperjuangkan kebajikan ahli serta membantu komuniti berkenaan meningkatkan keupayaan perniagaan.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Perasmian Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) Peringkat Kebangsaan 2026 di Dataran MPKj, Stadium Kajang, Selangor, pada 1 November lalu.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari.

Anwar berkata, usaha memastikan kemajuan ekonomi dapat dinikmati semua lapisan masyarakat merupakan antara tekad Waad Nasional, selaras dengan pendekatan pembangunan yang menitikberatkan keseimbangan antara kemajuan negara dengan keperluan rakyat.

“Insya-Allah, kita terus berusaha membina sebuah negara yang adil dan makmur, dengan peluang serta kemajuan yang dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button