Aminuddin persoal kedudukan Wilayah Tengah dalam perancangan pembangunan ekonomi negara

KUALA LUMPUR: Kedudukan Wilayah Koridor Tengah dalam perancangan pembangunan ekonomi negara perlu diberi perhatian bagi memastikan potensi ekonomi Negeri Sembilan, khususnya Port Dickson, dapat dimanfaatkan secara menyeluruh.
Perkara itu dibangkitkan Ahli Parlimen Port Dickson, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2027 di peringkat Jawatankuasa Kementerian Ekonomi.
Beliau mempersoalkan kedudukan Wilayah Tengah dalam agenda pembangunan ekonomi negara, khususnya berhubung peruntukan RM161 juta bagi pembangunan ekonomi wilayah koridor.
Menurutnya, satu kerangka pembangunan yang lebih khusus perlu diwujudkan bagi Wilayah Tengah supaya perancangan pembangunan ekonomi dapat dilaksanakan secara lebih terarah dan seimbang.
“Negeri Sembilan, khususnya Port Dickson, mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan, logistik, industri, perkhidmatan dan ekonomi maritim yang wajar diberi perhatian.
“Saya berharap potensi ini dapat dimanfaatkan melalui perancangan pembangunan yang lebih menyeluruh dan seimbang,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Aminuddin berkata, potensi pelbagai sektor berkenaan perlu diambil kira dalam merangka pembangunan wilayah bagi memastikan Negeri Sembilan turut mendapat manfaat daripada agenda pertumbuhan ekonomi negara.
Beliau berharap persoalan mengenai kedudukan Wilayah Tengah dan keperluan kerangka pembangunan khusus itu mendapat perhatian dalam perancangan Kementerian Ekonomi, khususnya bagi Belanjawan 2027.



