Lima dekad Bursa Malaysia: Anwar mahu pasaran modal lebih telus dan terangkum
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim mahu Bursa Malaysia terus memainkan peranan lebih besar dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara dapat dinikmati secara lebih meluas, termasuk dengan menyediakan peluang kepada perusahaan tempatan untuk mengembangkan perniagaan.
Beliau berkata, sambutan ulang tahun ke-50 Bursa Malaysia bukan sekadar meraikan perjalanan sebuah institusi kewangan negara, tetapi turut menjadi ruang untuk menilai tanggungjawab dan peranannya dalam membina pasaran modal yang diyakini serta memberi manfaat kepada ekonomi.
Menurutnya, Bursa Malaysia telah berkembang pesat sejak penubuhannya pada 1976 apabila hanya mempunyai 264 syarikat tersenarai dengan nilai RM12.7 bilion, sebelum berkembang kepada lebih 1,100 syarikat dan permodalan pasaran melebihi RM2 trilion ketika ini.
“Tatakelola yang baik, ketelusan dan keadilan mesti terus diperkukuh agar pasaran modal bukan sahaja diyakini pelabur, malah membuka lebih banyak ruang kepada perusahaan tempatan untuk berkembang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Anwar berkata, landskap ekonomi dunia yang semakin mencabar, dipengaruhi ketidaktentuan geopolitik, perubahan teknologi dan peralihan tenaga global, menuntut Malaysia memperkukuh asas ekonominya secara berterusan.
Sehubungan itu, kerangka Ekonomi MADANI akan terus menjadi panduan dalam memastikan daya tahan ekonomi, daya saing serta pertumbuhan mampan dan terangkum dapat diperkasakan.
Beliau turut menzahirkan harapan agar Bursa Malaysia terus melangkah maju dalam tempoh lima dekad akan datang sebagai institusi yang mendapat kepercayaan pelabur dan menjadi antara pemangkin utama kemakmuran negara.



