Berita

MotoGP meriah, 30 peniaga tempatan manfaat peluang berniaga di K2 Hillstand

SEPANG: Kehadiran ribuan peminat sukan permotoran ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) sempena perlumbaan MotoGP turut membuka peluang ekonomi kepada 30 peniaga tempatan yang menawarkan pelbagai juadah kepada pengunjung.

Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, penyertaan peniaga tempatan di kawasan K2 Hillstand bukan sahaja menambah kemeriahan suasana perlumbaan, malah memberi peluang kepada mereka memperkenalkan produk dan jualan kepada lebih ramai pelanggan.

Menurutnya, inisiatif berkenaan membuktikan penganjuran acara sukan antarabangsa juga boleh dimanfaatkan untuk merancakkan aktiviti ekonomi setempat serta membantu golongan peniaga kecil.

“Seronok melihat sambutan para peminat yang turut mengambil kesempatan menikmati pelbagai juadah daripada 30 peniaga tempatan yang berniaga di sini.

“Selain menambah kemeriahan suasana MotoGP, inisiatif ini juga memberi peluang kepada peniaga tempatan untuk memperkenalkan jualan mereka kepada lebih ramai pengunjung,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook.

Anwar turut meluangkan masa mengunjungi K2 Hillstand bagi bertemu pemegang Tiket MADANI MotoGP, bertanya khabar serta berkongsi keterujaan mereka menjelang aksi perlumbaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta semua pihak yang menjayakan inisiatif berkenaan.

Pendekatan menggabungkan aktiviti keusahawanan dengan penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa itu memberi ruang kepada peniaga tempatan untuk meluaskan pasaran, selain memastikan manfaat ekonomi acara berkenaan turut dirasai komuniti setempat.

Dengan kehadiran peminat dari dalam dan luar negara, peluang seperti ini berpotensi membantu memperkenalkan kepelbagaian makanan serta produk tempatan kepada khalayak yang lebih luas.

Show More

Related Articles

Back to top button