BELANJAWAN 2027: Suara rakyat jadi panduan, reformasi ekonomi terus dipacu – Anwar
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan pandangan serta cadangan yang dikemukakan hampir 400 wakil pelbagai lapangan pada Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 akan diperhalusi dalam usaha memastikan Belanjawan MADANI Kelima benar-benar menjawab keperluan rakyat.
Beliau berkata majlis berkenaan menghimpunkan wakil agensi kerajaan, sektor swasta dan industri, akademia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil (CSO) serta pertubuhan antarabangsa.
“Kalian membawa suara, keresahan dan harapan pelbagai lapisan masyarakat.
“Cadangan dan teguran yang dikemukakan akan membantu kita dalam membentuk Belanjawan MADANI yang benar-benar menjawab persoalan rakyat,” kata Anwar.

Menurut Anwar, reformasi ekonomi perlu diteruskan selain usaha mempercepat penerapan teknologi dan menarik pelaburan baharu bagi memastikan Malaysia terus berdaya saing serta tidak ketinggalan.
Bagaimanapun, katanya, pencapaian pertumbuhan ekonomi dan petunjuk makro tidak seharusnya menyebabkan kerajaan mengabaikan isu kesenjangan, kemiskinan serta tekanan kos sara hidup yang masih dirasai sebahagian rakyat.
“Tatkala kita menggapai di langit, kita mesti kekal mengakar di bumi dan mendengar denyut nadi rakyat di akar umbi,” jelas Anwar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang mengambil bahagian dalam sesi libat urus berkenaan serta menyumbang pandangan dan teguran bagi membantu kerajaan merangka Belanjawan 2027.
“Setiap pandangan akan diperhalusi sebelum Belanjawan 2027 dimuktamadkan,” ujar Anwar.




