Tekanan kos, akses peluang kontraktor Bumiputera diberi perhatian dalam Belanjawan 2027

PUTRAJAYA: Kerajaan akan meneliti pandangan dan cadangan yang dikemukakan wakil persatuan serta syarikat kontraktor Bumiputera, khususnya berkaitan tekanan kos, akses kepada peluang dan usaha memperkukuh daya saing perusahaan dalam merangka Belanjawan 2027.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, berkata perkara itu antara yang dibangkitkan ketika sesi libat urus Belanjawan 2027 bersama wakil persatuan dan syarikat kontraktor Bumiputera.
Menurut beliau, perusahaan kecil merentas pelbagai industri kini berdepan kesulitan, khususnya dalam menghadapi tekanan kos perolehan dan operasi susulan krisis bekalan global.
“Antara yang dibangkitkan adalah kesulitan yang dihadapi perusahaan kecil merentas pelbagai industri, khususnya dalam mendepani tekanan kos perolehan dan operasi akibat krisis bekalan global.
“Segala pandangan dan cadangan, khususnya berkaitan tekanan kos, akses kepada peluang dan usaha memperkukuh daya saing perusahaan, telah saya ambil maklum untuk diteliti sewajarnya dalam merangka Belanjawan 2027,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook.

Anwar berkata, Kerajaan MADANI akan memastikan Belanjawan 2027 membuka ruang dan peluang lebih luas kepada rakyat serta perusahaan untuk membina kemampuan masing-masing.
“Kerajaan MADANI akan memastikan Belanjawan 2027 ini dapat membuka ruang dan peluang yang lebih luas agar rakyat dan perusahaan dapat membina kemampuan serta mengangkat maruah anak watan.
“Kita mahu pandangan yang disampaikan dalam sesi libat urus ini diberikan perhatian sewajarnya dalam usaha memperkukuh daya tahan dan daya saing perusahaan,” ujar beliau.
Kerajaan sebelum ini turut memberi perhatian terhadap isu tekanan kos dan sokongan kepada perusahaan kecil, termasuk melalui langkah berkaitan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Dalam jawapan di Dewan Rakyat pada Julai lalu, Anwar berkata PMKS merupakan sektor strategik dan kerajaan menyalurkan pelbagai bentuk sokongan termasuk pembiayaan serta jaminan pembiayaan.
Isu tekanan kos akibat krisis bekalan global juga pernah disentuh Anwar pada Mei lalu, apabila beliau berkata peningkatan kos bekalan memberi tekanan khususnya kepada rakyat, peniaga dan penjaja.



