Berita

Insentif APC Naik RM1,000, 535 Penjawat Awam Terima RM2,000 Buat Kali Pertama

Nur Syafiqah Mohd Jemmi

SEREMBAN: Seramai 535 penjawat awam Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan menerima insentif Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) sebanyak RM2,000 seorang buat kali pertama tahun ini, meningkat RM1,000 berbanding kadar sebelum ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, Negeri Sembilan juga menjadi negeri pertama melaksanakan kenaikan insentif APC berkenaan sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan.

“Kenaikan itu bukan sekadar melibatkan nilai kewangan, tetapi simbol penghargaan kerajaan negeri terhadap komitmen dan pengorbanan penjawat awam dalam melaksanakan amanah kepada rakyat serta negeri.

“Tahun ini cukup istimewa kerana buat pertama kali dalam sejarah pentadbiran negeri, Kerajaan Negeri Sembilan telah menaikkan nilai hadiah APC kepada RM2,000 bagi setiap penerima dan kita merupakan negeri pertama yang melaksanakan inisiatif ini.

“Namun saya ingin tegaskan, apa yang kita naikkan ini bukan sekadar nilai angka. Ia adalah simbol penghargaan kerajaan kepada penjawat awam yang bersungguh-sungguh melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2025 di Klana Resort, di sini, hari ini.

Menurutnya, kerajaan negeri sebelum ini turut memberikan bonus sehingga tiga bulan kepada penjawat awam sebagai usaha menjaga kebajikan kumpulan berkenaan yang disifatkan sebagai tulang belakang pentadbiran kerajaan negeri.

Penghargaan terhadap penjawat awam penting bagi memastikan pentadbiran kerajaan kekal stabil, cekap dan terus mendapat keyakinan rakyat.

“Jika kita mahu sebuah kerajaan yang kuat, stabil dan dihormati rakyat, maka kita mesti terlebih dahulu menjaga kebajikan mereka yang menjadi tulang belakang kepada pentadbiran kerajaan itu sendiri.

“Pendekatan menghargai penjawat awam itu turut memberi kesan positif kepada prestasi negeri termasuk peningkatan kutipan hasil, pencapaian pentadbiran, pelaburan serta keyakinan rakyat terhadap mutu penyampaian kerajaan negeri,” tambahnya.

Dalam pada itu, hampir 70 peratus daripada keseluruhan penerima APC tahun ini terdiri daripada wanita, sekali gus membuktikan peranan besar golongan tersebut sebagai antara penggerak utama pentadbiran negeri.

“Dengan adanya insentif dan penghargaan seperti ini, kita menyaksikan peningkatan yang sangat ketara dalam pelbagai aspek daripada kutipan hasil negeri, pencapaian pentadbiran, kejayaan pelaburan sehinggalah kepada respon dan keyakinan rakyat terhadap mutu perkhidmatan kerajaan Negeri Sembilan.

“Ini bukan berlaku secara kebetulan, tetapi hasil budaya kerja yang semakin positif, semangat kerja berpasukan yang semakin kuat dan rasa dihargai dalam kalangan penjawat awam negeri,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Aminuddin berkata Negeri Sembilan kini berada pada momentum pembangunan yang memberangsangkan apabila berjaya merekodkan pelaburan diluluskan tertinggi dalam sejarah negeri pada tahun lalu iaitu sebanyak RM19.1 bilion melibatkan 295 projek.

Katanya, kejayaan tersebut bukan dicapai secara individu, tetapi hasil kerja berpasukan seluruh jentera pentadbiran kerajaan negeri yang berusaha memastikan kestabilan dasar, kecekapan pentadbiran dan keyakinan pelabur terhadap Negeri Sembilan.

Pelaburan tersebut juga dijangka dapat mewujudkan sebanyak 3,845 peluang pekerjaan baharu kepada rakyat negeri ini.

Show More

Related Articles

Back to top button