Berita

5,199 pemilik gerai PBT Negeri Sembilan nikmati pengurangan sewa 20 peratus

SEREMBAN: Seramai 5,199 pemilik gerai melibatkan premis milik pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan bakal menikmati pengurangan kadar sewa sebanyak 20 peratus bermula Jun hingga Disember 2026.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri Sembilan telah bersetuju melaksanakan pengurangan kadar sewa gerai milik PBT di seluruh negeri.

“Langkah ini dijangka dapat membantu meringankan beban peniaga kecil dan sederhana yang menyewa premis milik PBT selain merancakkan lagi aktiviti ekonomi tempatan di Negeri Sembilan.

“Pengurangan kadar sewa gerai sebanyak 20 peratus ini akan bermula bulan Jun ini sehingga bulan Disember 2026 nanti.

“Impak kewangan daripada pengurangan kadar sewa gerai ini ialah sebanyak RM1.4 juta.

“Bilangan premis yang terlibat sebanyak 5,199 unit,” kata Aminuddin.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan inisiatif berkenaan semasa Sidang Media Pasca Mesyuarat Exco pada Rabu di Wisma Negeri.

Menurut Aminuddin, pengurangan kadar sewa gerai ini melibatkan Majlis Bandaraya Seremban (MBS), Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD), Majlis Daerah Jempol, Majlis Daerah Tampin, Majlis Daerah Kuala Pilah, Majlis Daerah Rembau dan Majlis Daerah Jelebu.

Show More

Related Articles

Back to top button