AI Perlu Dipandu Ilmu dan Akhlak, Elak Jadi ‘Fitnah Akhir Zaman’: Tengku Zamrah

SEREMBAN: Program Usrah Bulanan bersama Menteri Besar Negeri Sembilan menjadi platform penting dalam membincangkan cabaran serta tanggungjawab masyarakat Islam dalam mendepani perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO Negeri Sembilan, Dato’ Tengku Zamrah Tengku Sulaiman berkata, program bertajuk “AI: Anugerah atau Fitnah Akhir Zaman?” itu memberi penekanan kepada kepentingan umat Islam mengimbangi kemajuan teknologi dengan ilmu, iman dan akhlak.
“Perkongsian yang disampaikan oleh penceramah, Mohamad Fauzan Noordin membuka ruang pemikiran masyarakat agar lebih berhati-hati dalam menggunakan teknologi moden.
“Program ini memberi penekanan kepada kepentingan umat Islam mendepani perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan ilmu, iman dan nilai akhlak yang tinggi,” katanya dalam satu hantaran Facebook.
Beliau turut menegaskan bahawa penggunaan AI perlu dipandu dengan nilai moral dan tanggungjawab supaya teknologi tersebut membawa manfaat kepada agama, bangsa dan negara.

“Perkongsian yang disampaikan membuka ruang pemikiran masyarakat agar lebih berhati-hati dalam menggunakan teknologi moden supaya ia menjadi manfaat kepada agama, bangsa dan negara, bukannya membawa kerosakan moral serta fitnah akhir zaman,” ujar Tengku Zamrah.
Program yang berlangsung di Surau Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan, diadakan dalam suasana penuh ilmu, ukhuwah dan penghayatan Islam.
Tambah Tengku Zamrah, usrah seperti itu amat penting dalam membentuk masyarakat yang cintakan ilmu selain memperkukuhkan perpaduan dan mendidik jiwa agar sentiasa dekat dengan Allah SWT ketika berdepan cabaran dunia moden.
“Saya berharap segala pengisian yang diperoleh menerusi program berkenaan dapat menjadi panduan dan manfaat kepada peserta serta terus menyemarakkan budaya ilmu dan nilai murni dalam masyarakat,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan.




