Awaludin Said Dilantik Speaker DUN Negeri Sembilan Ke-16 buat kali Kedua

SEREMBAN: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota, Dato’ Seri Dr. Awaludin Said dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan bagi penggal ke-16 dalam Persidangan Pertama (Khas) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan Yang Ke-16, di sini.
Pelantikan itu menyaksikan Awaludin kembali menerajui persidangan DUN selepas pernah menyandang jawatan Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan dari Jun 2013 hingga April 2018.
Usul pemilihan Awaludin dicadang oleh Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim dan disokong oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Datuk Mohd Faizal Ramli.
Upacara mengangkat sumpah jawatan terbabit bagi menggantikan Speaker DUN sebelum ini, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman.
Awaludin yang berusia 66 tahun mempunyai pengalaman luas dalam politik dan pentadbiran negeri selepas berkhidmat sebagai wakil rakyat DUN Kota daripada Barisan Nasional (BN) selama empat penggal dari 2004 hingga Jun 2023.
Beliau turut memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau bagi penggal 2023 hingga 2026.
Beliau sebelum ini pernah menyandang jawatan Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan dari 2013 hingga 2018 selain pernah menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah MAINS Zakat Sdn. Bhd dari 2014 hingga 2018.
Sebelum menceburi bidang politik, Awaludin mempunyai latar belakang dalam bidang perubatan dengan pengalaman sebagai pengamal perubatan swasta di Klinik Kita, Ampang, Selangor dari 1991 hingga 2004.
Beliau turut pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perubatan dan Kesihatan bersama Lembaga Tabung Haji di Mekah, Arab Saudi dari 1989 hingga 1990 selain menjadi Pegawai Kesihatan di Pusat Kesihatan Besar Padang Lebar, Batu Kikir dari 1987 hingga 1991.
Kerjaya perubatannya bermula sebagai Pegawai Perubatan di Hospital Besar Seremban dari 1986 hingga 1987 selepas menjalani latihan siswazah atau ‘housemanship’ di hospital sama dari 1985 hingga 1986.
Sementara itu, Dato’ Kamarol Ridzuan Mohd. Zin daripada Perikatan Nasional (PN) dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, Kamarol Ridzuan berjaya mempertahankan kerusi DUN Paroi selepas memperoleh 19,461 undi dengan majoriti 16,959 undi, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Ahmad Shahir Mohd. Shah dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd. Nazree Mohd. Yunus.
Dalam persidangan tersebut, Dato’ Seri Awaluddin Bin Said melafazkan sumpah jawatan sebagai Yang Dipertua DUN manakala Kamarol Ridzuan Mohd. Zin melafazkan sumpah jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua DUN sebelum memulakan tugas mempengerusikan persidangan serta mengendalikan perjalanan urusan Dewan.
Sementara itu, upacara mengangkat sumpah ADUN dimulakan dengan ADUN Juasseh, Dato’ Ismail Lasim yang kini menerajui pentadbiran negeri sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Ismail melafazkan sumpah sebagai ADUN selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 2 Ogos lalu susulan kemenangan beliau di kerusi DUN Juasseh pada PRN Negeri Sembilan ke-16.
Beliau memperoleh 6,907 undi dengan majoriti 4,091 undi dalam pertandingan tiga penjuru di kawasan tersebut.
Kesemua 35 ADUN daripada 36 ADUN kemudian melafazkan sumpah jawatan masing-masing sebagai tanda bermulanya tugas mereka dalam DUN Negeri Sembilan bagi penggal ke-16.
ADUN Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan bagaimanapun tidak hadir atas urusan rasmi yang tidak dapat dielakkan.
PRN Negeri Sembilan yang berlangsung pada 1 Ogos lalu menyaksikan Barisan Nasional (BN) memperoleh 18 daripada 36 kerusi DUN manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi 11 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) tujuh kerusi.
Gabungan BN dan PN yang menguasai 25 kerusi membentuk kerajaan negeri sementara PH berperanan sebagai blok pembangkang.
Dengan kesemua 35 ADUN selesai mengangkat sumpah serta pelantikan Yang Dipertua DUN dan barisan EXCO, institusi DUN Negeri Sembilan kini memasuki penggal ke-16 dengan tanggungjawab baharu untuk memastikan urusan pentadbiran serta kepentingan rakyat terus diberi keutamaan.
Persidangan DUN selepas ini akan menjadi medan bagi wakil kerajaan dan pembangkang membahaskan dasar, menyuarakan kepentingan rakyat serta meneliti agenda pembangunan Negeri Sembilan sepanjang penggal tersebut.



