DUN Negeri Sembilan Lulus RUU Perbekalan Tambahan RM40.35 Juta

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan Tahun 2026 yang melibatkan peruntukan tambahan sebanyak RM40.35 juta sekali gus meningkatkan jumlah Belanja Mengurus negeri bagi tahun ini daripada RM640 juta kepada RM680.35 juta.
Menurut Menteri Besar, Dato’ Ismail Lasim, tambahan peruntukan itu diperlukan bagi menyempurnakan beberapa keputusan Kerajaan Negeri serta tanggungjawab kewangan yang perlu dilaksanakan dalam tahun semasa.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM6.5 juta diperuntukkan bagi menampung komitmen bayaran balik hutang Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan manakala RM5.85 juta diperlukan bagi bayaran pencen dan ganjaran kepada Anggota Pentadbiran serta Ahli-Ahli DUN susulan pembubaran DUN pada 5 Jun lalu” katanya
Dalam pada itu, sebanyak RM13 juta pula diperuntukkan bagi Bantuan Khas Kewangan (BKK) bersamaan dua bulan gaji serta Bantuan Khas Kewangan Berasaskan Prestasi kepada penjawat awam negeri.
“Sebanyak RM15 juta diperuntukkan sebagai caruman kepada Akaun Amanah Pembinaan dan Penyelenggaraan Masjid, Surau dan Tanah Perkuburan Islam Negeri Sembilan bagi meneruskan projek menaik taraf Masjid Negeri serta menyediakan kemudahan ibadah yang lebih baik” katanya.
Ismail berkata, tambahan peruntukan tersebut bersamaan 6.30 peratus daripada peruntukan asal Belanja Mengurus Tahun 2026.
Dalam pada itu, kedudukan kewangan Negeri Sembilan bagi tahun kewangan 2025 turut mencatat prestasi positif dengan lebihan sebenar sebanyak RM203.2 juta berdasarkan Penyata Kewangan Kerajaan Negeri yang telah diaudit.
Kerajaan Negeri turut merekodkan kutipan hasil sebanyak RM785.2 juta pada 2025 bersamaan 133.1 peratus daripada sasaran Belanjawan Tahun 2025 sekali gus menjadi kutipan hasil tertinggi pernah direkodkan negeri.
“Bagi tahun semasa pula, sehingga suku kedua 2026, Kerajaan Negeri telah mengutip hasil sebanyak RM465.48 juta berbanding RM351.61 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
Jumlah itu bersamaan 76.31 peratus daripada anggaran hasil Tahun 2026 sebanyak RM610 juta” katanya.
Mengulas isu bayaran pencen dan ganjaran susulan pembubaran DUN, Ismail berkata perkara itu turut memerlukan peruntukan tambahan kerana keperluan berkenaan tidak dapat dimasukkan dalam anggaran asal Belanjawan 2026.
Beliau pada masa sama berkata kerajaan negeri akan meneliti beberapa perkara yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ketika perbahasan termasuk isu berkaitan peruntukan kepada pihak tertentu.
“Sebahagian besar perkara yang dibangkitkan itu akan kita bincangkan di peringkat Kerajaan Negeri dan kita akan lihat bagaimana rumusan atau penyelesaian dapat dibuat,” katanya.
Mengenai persoalan berhubung peruntukan RM180,000 yang dibangkitkan dalam persidangan, Ismail berkata kerajaan negeri akan meneliti semula perkara tersebut termasuk mengambil kira tempoh pelaksanaan yang dinyatakan.
“Perkara itu menjadi perhatian kerana tempoh yang dinyatakan meliputi Julai hingga September sedangkan ketika ini sudah memasuki Ogos dan September masih belum bermula.
“Kalau dia kata untuk kebajikan rakyat, mungkin tidak timbul masalah sebab boleh diselesaikan.
“Tetapi apabila dinyatakan Julai hingga September, sudah tentu ada yang mempersoalkannya,” katanya.
Ismail berkata kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan lanjut bagi menentukan tindakan yang wajar berhubung perkara berkenaan.
Ismail berkata Kerajaan Negeri akan meneruskan inisiatif yang baik yang telah dilaksanakan sebelum ini selain melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa.
“Sebahagian daripada inisiatif itu sebenarnya adalah hasil pemikiran kita bersama.
“Apa yang kita dah cetuskan dan yang baik-baik itu, kita akan teruskan,” katanya.
Ismail turut menyifatkan persidangan kali ini sebagai permulaan baharu susulan pelantikan Speaker dan Timbalan Speaker yang memberikan ruang lebih luas kepada ADUN untuk membahaskan perkara berkaitan pentadbiran negeri.
Sementara itu, kedudukan kewangan yang kukuh itu menyediakan asas yang baik untuk Kerajaan Negeri meneruskan pembangunan, menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat serta memenuhi tanggungjawab kewangan.
Ismail turut menegaskan Kerajaan Negeri mahu memastikan Negeri Sembilan terus berada pada landasan stabil, maju dan makmur dengan manfaat pembangunan dapat dirasai rakyat.
“Mandat yang diberikan rakyat kepada pentadbiran baharu merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu digalas dengan penuh keikhlasan, kebijaksanaan dan keberanian.
“Kini masanya untuk kita memberikan sepenuh tumpuan kepada tugas mentadbir dan menterjemahkan hasrat serta suara rakyat kepada tindakan,” katanya.
Dengan kelulusan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan Tahun 2026, kini meningkat kepada RM680.35 juta bagi membolehkan Kerajaan Negeri melaksanakan komitmen kewangan serta agenda pentadbiran yang telah ditetapkan.



