Berita

Cha Kee Chin bangkit isu kelewatan AGC, peruntukan SPRM dalam perbahasan Belanjawan 2027

KUALA LUMPUR: Isu kelewatan membuat keputusan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC), keperluan menambah peruntukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta kedudukan peruntukan Parlimen Malaysia antara perkara dibangkitkan Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin ketika perbahasan Belanjawan 2027 Malaysia MADANI.

Beliau berkata, perkara itu dibangkitkan ketika mengambil bahagian dalam perbahasan di peringkat Jawatankuasa Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Antara persoalan yang diketengahkan ialah sama ada AGC berdepan masalah kekurangan kakitangan sehingga menyebabkan kelewatan dalam membuat keputusan yang sering berlaku.

Selain itu, Cha turut mempersoalkan ketiadaan pertambahan peruntukan yang jelas kepada SPRM, sedangkan agensi berkenaan memainkan peranan penting dalam usaha membanteras rasuah dan ketirisan.

“Kenapa tiada pertambahan peruntukan yang jelas untuk SPRM, yang boleh membuktikan komitmen kerajaan membanteras rasuah dan ketirisan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau turut menyentuh mengenai peruntukan untuk Parlimen Malaysia yang dilihat hampir tidak berubah berbanding sebelumnya.

Menurutnya, keadaan itu seolah-olah tidak memperlihatkan penekanan sewajarnya terhadap pelaksanaan Akta Perkhidmatan Parlimen.

Ketiga-tiga perkara berkenaan merupakan antara isu yang diketengahkan beliau dalam usaha memastikan peruntukan Belanjawan 2027 turut memberi perhatian kepada aspek kecekapan pentadbiran, integriti serta pengukuhan institusi demokrasi negara.

Show More

Related Articles

Back to top button