Berita

Anwar sambut baik keputusan pelaburan LNG Canada Fasa 2 bernilai CA$33 bilion

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyambut baik keputusan PETRONAS bersama rakan usaha samanya memuktamadkan keputusan pelaburan bagi projek LNG Canada Fasa 2 di Kitimat, British Columbia.

Menurut Anwar, keputusan itu membuka laluan kepada pelaburan sektor swasta bernilai CA$33 bilion, sekali gus menjadi antara pelaburan swasta terbesar di Kanada.

Beliau berkata, pembesaran berkenaan bakal menggandakan kapasiti pengeluaran LNG Canada daripada 14 juta tan setahun kepada 28 juta tan setahun, sekali gus menjadikannya antara kemudahan gas asli cecair terbesar di dunia.

“Keputusan ini membuka jalan kepada pelaburan sektor swasta bernilai CA$33 bilion.

“Pembesaran ini bakal menjadikan LNG Canada antara kemudahan gas asli cecair terbesar di dunia, sekali gus memperkukuh bekalan tenaga kepada pasaran antarabangsa,” kata Anwar menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Anwar turut merakamkan tahniah kepada seluruh warga PETRONAS atas kejayaan tersebut, sambil menyifatkan keupayaan syarikat minyak negara itu menjayakan projek tenaga berskala besar bersama rakan antarabangsa sebagai gambaran keyakinan terhadap kepakaran dan kemampuan Malaysia.

“Keupayaan syarikat negara menjayakan projek tenaga berskala besar bersama rakan antarabangsa turut mencerminkan kepercayaan terhadap kepakaran dan kemampuan Malaysia,” katanya.

Projek LNG Canada Fasa 2 melibatkan PETRONAS bersama Shell, PetroChina, Mitsubishi Corporation dan KOGAS sebagai peserta usaha sama.

Fasa kedua itu akan menambah dua unit pemprosesan LNG dan menggandakan kapasiti keseluruhan kemudahan kepada 28 juta tan setahun.

Dalam pada itu, Anwar turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Kanada, Mark Carney atas sokongan beliau terhadap PETRONAS.

“Saya mengalu-alukan pertemuan bersama PM Carney dan delegasi Kanada pada masa akan datang bagi memperkukuh hubungan persahabatan serta memperluas kerjasama Malaysia-Kanada,” ujar beliau.

Keputusan pelaburan akhir bagi Fasa 2 itu diumumkan LNG Canada pada 28 September 2026, dengan pembesaran berkenaan dijangka mengukuhkan kedudukan Kanada dalam pasaran eksport LNG global.

Show More

Related Articles

Back to top button