150 Peserta Sertai Program Amal Charity Ride, Bukti Keprihatinan PDRM

SEREMBAN: Kira-kira 150 peserta menyertai Program Amal Konvoi Charity Ride sempena Sambutan Hari Polis ke-219 dan Ambang Merdeka ke-69 yang membawa misi kebajikan menerusi penyaluran sumbangan kepada 120 keluarga warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta 12 rumah kebajikan.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Ismail Lasim, program berkenaan melibatkan 150 peserta yang terdiri daripada warga PDRM dan ahli Ipoh Superbike Club (ISBC).
“Tiga elemen penting diutamakan dalam menjayakan program ini iaitu kebajikan, hubungan polis dengan masyarakat serta semangat patriotisme,” katanya ketika berucap merasmikan Program Amal Konvoi Charity Ride Kontinjen Negeri Sembilan bersama ISBC di Sekolah Latihan Asas Kepolisan (SLAK), hari ini.
Menurut Ismail, konvoi ini akan berlangsung selama lima hari empat malam bermula di Negeri Sembilan dan merentasi beberapa negeri di Semenanjung Malaysia termasuk Perak dan Selangor sebelum berakhir di Kuala Lumpur.
“Peserta konvoi akan singgah di beberapa kontinjen dan lokasi yang ditetapkan bagi menyampaikan sumbangan kepada 120 keluarga warga PDRM serta 12 rumah kebajikan sepanjang perjalanan.
“Bagi saya, inilah nilai sebenar sebuah program amal.
“Kita bukan sahaja meraikan sambutan Hari Polis dan Ambang Merdeka tetapi memastikan sambutan tersebut turut memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan,” katanya.
Dalam pada itu, Ismail berkata, aktiviti ini turut menjadi contoh pendekatan community policing dalam usaha mengeratkan hubungan antara PDRM dengan masyarakat.
“Hubungan antara polis dan masyarakat tidak seharusnya terbatas kepada ketika berlakunya sesuatu isu keselamatan.
“Hubungan itu perlu dibina melalui interaksi, kebersamaan dan aktiviti kemasyarakatan,” katanya.
Ismail berkata, program tersebut pada masa sama memperlihatkan keprihatinan PDRM terhadap kebajikan anggota serta keluarga mereka yang sentiasa berada di barisan hadapan dalam menjaga keselamatan masyarakat.
“Saya turut merakamkan penghargaan kepada ISBC, penaja dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan” katanya.
Menurutnya, kerjasama sedemikian menunjukkan usaha menjaga kebajikan masyarakat bukan hanya menjadi tanggungjawab kerajaan sebaliknya boleh digerakkan secara bersama oleh pasukan keselamatan, sektor swasta dan masyarakat.
“Saya berharap semangat yang dibawa melalui konvoi ini terus diterjemahkan dalam bentuk kerjasama yang lebih erat antara PDRM dengan masyarakat.
“Dalam kita menyambut Hari Polis dan Bulan Kemerdekaan, marilah kita sama-sama menghargai keamanan yang kita nikmati dan menjaga keharmonian negara ini,” katanya.
Sementara itu, Ismail juga mengingatkan peserta yang mengikuti perjalanan konvoi selama lima hari mengutamakan keselamatan serta mematuhi peraturan jalan raya.
“Aktiviti permotoran juga boleh dijadikan medium untuk membawa mesej kebajikan dan kemasyarakatan kepada masyarakat.
“Paling penting, utamakan keselamatan, patuhi peraturan jalan raya dan jadikan konvoi ini sebagai contoh bahawa aktiviti permotoran juga boleh membawa mesej kebajikan dan kemasyarakatan,” katanya.



