Tok Mat Mahu Lebih 1,000 Pelarian Myanmar Dihantar Pulang Berperingkat
SEREMBAN: Kerajaan Malaysia mahu lebih 1,000 pelarian Myanmar yang telah dikenal pasti dihantar pulang ke negara asal secara berperingkat.
Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan, proses berkenaan akan dibincangkan bersama kerajaan Myanmar menerusi kedutaan negara itu di Kuala Lumpur.
“Di Malaysia, mereka mengatakan telah mengenal pasti lebih kurang 1,000 daripada 5,000 pelarian Myanmar ini yang boleh dihantar pulang.
“Kalau itu betul, saya telah minta Ketua Setiausaha untuk berhubung dengan kerajaan Myanmar melalui kedutaan mereka supaya membawa mereka ini pulang secara beransur-ansur.
“Tidak perlu tunggu sehingga 5,000 orang dikenal pasti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ziarah Kasih Tok Mat di Taman Pinggiran Senawang, di sini.
Mohamad berkata, aspek keselamatan pelarian terbabit perlu diberi perhatian bagi memastikan mereka tidak berdepan ancaman selepas kembali ke negara asal.
“Tak boleh juga kita menghantar mereka pulang tetapi keselamatan mereka terancam.
“Kita tidak mahu Malaysia dilihat sebagai sebuah negara yang menghantar mereka pulang dengan pengetahuan bahawa keselamatan mereka tidak terjamin,” katanya.
Menurutnya, kerajaan juga sedang meneliti kaedah terbaik bagi memastikan proses penghantaran pulang dapat dilaksanakan secara teratur termasuk cadangan mewujudkan kawasan khas di Myanmar untuk menempatkan mereka yang dihantar pulang.
“Kita nak supaya ada jaminan keselamatan terhadap mereka yang dihantar pulang ini,” katanya.
Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama kerajaan Myanmar bagi memastikan proses penghantaran pulang dapat dilaksanakan dengan mengambil kira aspek keselamatan dan kebajikan mereka.



