Tiga Tunjang Utama Jadi Asas Pentadbiran Baharu Negeri Sembilan
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan baharu meletakkan kestabilan, kemajuan dan kemakmuran sebagai tiga tunjang utama pentadbiran bagi memastikan pembangunan negeri terus dipacu dan manfaatnya dapat dirasai rakyat.
Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’Ismail Lasim, ketiga-tiga tunjang itu akan menjadi asas kepada pentadbiran kerajaan negeri dalam melaksanakan agenda pembangunan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Stabil bukan sekadar bermaksud sebuah kerajaan yang mempunyai majoriti sokongan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi lebih penting adalah kestabilan institusi Raja Berperlembagaan dan institusi adat, kestabilan pentadbiran yang profesional serta kestabilan dasar yang memberi keyakinan kepada rakyat, pelabur dan dunia perniagaan,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Penjawat Awam dan Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sembilan 2026 di Dewan Majlis Bandaraya Seremban, di sini hari ini.
Menurutnya, pembangunan juga tidak seharusnya tertumpu di kawasan bandar semata-mata sebaliknya perlu turut dirasai masyarakat di kampung, luar bandar, FELDA dan komuniti setempat.
“Pembangunan tidak hanya tertumpu di bandar-bandar utama.
“Kampung, kawasan luar bandar, FELDA dan komuniti setempat juga mesti bergerak seiring dalam fasa pembangunan negeri ini,” katanya.
Bagi aspek kemakmuran pula, Ismail berkata, hasil pembangunan perlu dapat dirasai rakyat menerusi peluang ekonomi yang lebih luas, urusan dengan kerajaan yang lebih efisien serta keyakinan terhadap masa depan negeri.
Dalam pada itu, beliau menggariskan lima budaya kerja yang perlu diterapkan dalam perkhidmatan awam negeri bagi memastikan pentadbiran lebih pantas, responsif dan berprestasi tinggi.
Lima budaya itu ialah budaya menyelesaikan masalah, kepantasan, kerjasama, keberanian membuat keputusan serta pembelajaran dan inovasi.
“Jangan terlalu cepat mengatakan ‘tidak boleh’.
“Sebaliknya, tanyakan bagaimana kita boleh melaksanakan mengikut lunas undang-undang,” katanya.
Ismail berkata, penjawat awam juga perlu meninggalkan budaya bekerja secara berasingan antara jabatan kerana rakyat tidak melihat sempadan antara jabatan, sebaliknya melihat kerajaan sebagai satu entiti.
“Rakyat tidak melihat sempadan antara jabatan. Mereka melihat sebuah kerajaan. Maka budaya bekerja secara berasingan antara jabatan mesti kita tinggalkan,” katanya.
Ismail berkata, penjawat awam turut perlu berani membuat keputusan berdasarkan fakta, undang-undang, integriti dan kepentingan awam, selain mengamalkan budaya pembelajaran serta inovasi.
“Kerajaan tidak boleh bekerja dengan cara yang sama seperti 20 tahun dahulu. Pendigitalan, teknologi dan pendekatan baharu mesti menjadi sebahagian daripada cara kita bekerja,” katanya.
Sementara itu, Ismail berkata, Kerajaan Negeri turut memberi komitmen untuk tidak menaikkan cukai taksiran kediaman bagi tempoh lima tahun akan datang sebagai antara usaha mengurangkan beban rakyat.
Menurutnya, keputusan itu mencerminkan keutamaan kerajaan untuk memastikan pembangunan negeri terus berjalan tanpa mengetepikan kebajikan rakyat.
“Inilah maksud sebenar pentadbiran yang berpaksikan kestabilan, kemajuan dan kemakmuran.
“Pembangunan negeri mesti berjalan tetapi kebajikan rakyat tidak boleh diketepikan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail berkata, kutipan hasil Negeri Sembilan sehingga Ogos tahun ini mencecah RM522.4 juta sekali gus menjadikan sasaran kutipan hasil negeri sebanyak RM1 bilion menjelang 2030 sesuatu yang mampu dicapai.
“Negeri Sembilan turut merekodkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak RM55.8 bilion pada 2025 berbanding RM54.3 bilion pada tahun sebelumnya, dengan pertumbuhan 2.6 peratus yang dipacu sektor perkhidmatan dan pembuatan” katanya.
Menurutnya, sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar ekonomi negeri dengan sumbangan 53.1 peratus diikuti sektor pembuatan sebanyak 37.3 peratus, pertanian 6.2 peratus dan pembinaan 2.7 peratus.
“Kerajaan Negeri melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri Sembilan (UPEN) turut menubuhkan Jawatankuasa Khas Pemantauan KDNK bagi meneliti faktor yang mempengaruhi prestasi setiap sektor serta mengenal pasti langkah penyelesaian terhadap cabaran ekonomi” katanya.
Ismail berkata, peranan penjawat awam amat penting dalam memastikan setiap dasar dan program kerajaan diterjemahkan kepada manfaat yang dapat dirasai rakyat khususnya dalam mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti, meningkatkan pendapatan serta menyediakan peluang kerjaya.



