Negeri Sembilan Sasar 25 Pingat Emas Pada SUKMA Selangor Ke-22
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan 25 pingat emas pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 yang dijadualkan berlangsung pada Ogos ini.
Menurut Exco Belia dan Sukan Negeri Sembilan, Dato’ Mustapha Nagoor, sasaran berkenaan dibuat berdasarkan persiapan lebih rapi yang dilakukan persatuan sukan serta barisan jurulatih negeri bagi menghadapi temasya kali ini.
“Pada kali ini, sasaran pingat emas adalah lebih daripada tahun sebelumnya dan mereka menyasarkan 25 pingat emas.
“Saya lihat semua persatuan sukan dan jurulatih membuat persiapan lebih rapi berbanding dahulu.
“Jadi sepatutnya ganjarannya juga mesti lebih baik daripada dua tahun lepas,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perhimpunan Penjawat Awam dan Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Sembilan 2026, di sini.
Menurut Mustapha, antara acara yang menjadi sandaran Negeri Sembilan untuk menyumbang pingat emas ialah akuatik, polo, berbasikal, catur, e-sukan, gimnastik, golf, kabaddi, karate, kriket, lawan pedang, menembak, muay thai, olahraga, ragbi, sepak takraw, silambam, sofbol, taekwondo, tinju dan wushu.
Katanya, acara menembak turut menjadi antara sandaran utama selepas Negeri Sembilan muncul sebagai juara dalam acara tersebut pada tahun 2024.
“Dua tahun lepas, kita juara menembak dan merupakan antara penyumbang pingat emas terbanyak. Kali ini kita sasarkan empat pingat emas,” katanya.
Pada SUKMA 2024, Negeri Sembilan mengumpul 56 pingat keseluruhan membabitkan 19 emas, 13 perak dan 24 gangsa.
Dalam pada itu, Mustapha berkata, seramai 554 atlet bersama 188 petugas akan mewakili Negeri Sembilan pada temasya kali ini, menjadikan keseluruhan kontinjen seramai 742 orang.
Menurutnya, Negeri Sembilan akan menyertai 35 daripada 37 jenis sukan yang dipertandingkan pada temasya kali ini manakala judo dan memanah tidak disertai.
“Bukan digugurkan sebaliknya kita tidak mempunyai penyertaan kerana tiada atlet serta persatuan yang aktif untuk menguruskan sukan judo dan memanah,” katanya.
“Kadang-kadang ada anak-anak negeri yang mempunyai bakat tetapi tidak ada persatuan untuk menguruskan mereka dan menjalankan latihan,” katanya.
Mustapha berkata, kerajaan negeri sebelum ini telah memutuskan supaya sukan yang tidak mempunyai persatuan aktif boleh diambil alih oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) bagi memastikan bakat anak negeri terus diberi peluang untuk diketengahkan.
“Jadi, kali ini kita akan lihat lagi pada tahun-tahun akan datang lebih banyak sukan yang dapat mengambil bahagian,” katanya.
Sementara itu, Mustapha berkata, kerajaan negeri turut menyediakan insentif kepada atlet yang berjaya membawa pulang pingat pada SUKMA kali ini.
Bagaimanapun, katanya, jumlah insentif tersebut masih belum diputuskan dan akan dibincangkan selepas mengambil kira jumlah atlet yang berjaya meraih pingat.
“Atlet yang berjaya membawa pulang pingat akan ada insentif daripada kerajaan negeri seperti dua tahun lepas.
“Jumlahnya belum diputuskan lagi. Kita akan lihat berapa ramai yang menang sebelum duduk berbincang untuk menentukan jumlah yang akan diberikan kepada mereka,” katanya.



