Berita

MyKad baharu tidak ganggu bantuan kerajaan

PUTRAJAYA: Proses peralihan kepada MyKad Struktur Baharu yang dijadual bermula Jun ini tidak akan menjejaskan penyaluran bantuan kerajaan termasuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan BUDI MADANI RON95 (BUDI95).

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi jaminan bahawa data penerima bantuan sedia ada akan kekal dalam sistem dan tidak tercicir sepanjang proses pertukaran MyKad dilaksanakan secara berperingkat.

Menurut JPN, pihaknya telah bekerjasama rapat dengan kementerian serta agensi berkaitan bagi memastikan integriti data penerima bantuan terus terpelihara dan proses penyaluran berjalan lancar.

“Proses migrasi maklumat akan dilakukan secara automatik dalam sistem pangkalan data pusat bagi memastikan bantuan terus diterima oleh penerima yang layak,” menurut kenyataan JPN hari ini.

Kenyataan itu dibuat susulan kebimbangan segelintir masyarakat mengenai kemungkinan berlaku gangguan teknikal atau nama penerima bantuan tercicir selepas pelaksanaan MyKad Struktur Baharu.

JPN memaklumkan, MyKad generasi baharu itu dilengkapi ciri keselamatan lebih canggih yang mampu memperkukuh proses pengesahan identiti penerima bantuan dan subsidi kerajaan.

“Fokus utama JPN adalah meningkatkan keselamatan identiti rakyat tanpa menyukarkan urusan penerimaan bantuan kerajaan,” katanya.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak mudah percaya dengan khabar angin atau maklumat palsu yang mendakwa bantuan kerajaan akan dihentikan sekiranya MyKad tidak ditukar segera.

Dalam masa sama, JPN memaklumkan maklumat lanjut berhubung tatacara permohonan dan proses penukaran MyKad Struktur Baharu akan diumumkan dalam masa terdekat.

 

Show More

Related Articles

Back to top button