Pengunjung Diminta Jaga Kebersihan Taman Eko Rimba Ulu Bendul Elak Penularan Kencing Tikus – Aminuddin
Nur Syafiqah Mohd Jemmi

SEREMBAN: Orang ramai yang mengunjungi kawasan rekreasi dan peranginan di negeri ini diingatkan supaya lebih bertanggungjawab terhadap aspek kebersihan bagi mengelakkan risiko penularan penyakit, termasuk leptospirosis atau kencing tikus.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, kerjasama pengunjung amat diperlukan terutama dalam memastikan sisa makanan serta sampah tidak ditinggalkan di lokasi rekreasi.
“Isu Ulu Bendul adalah mengenai penyakit kencing tikus yang berlaku dan kita berharap pihak-pihak berkaitan dapat memastikan kawasan tersebut dapat disegerakan proses basmi kuman.
“Mereka yang datang berkunjung ke kawasan peranginan perlu faham bahawa tempat seperti ini memerlukan kerjasama semua pihak.
“Mereka yang membawa makanan, hidangan dan keperluan sendiri perlu memastikan semua dibawa pulang semula, bukan ditinggalkan di situ,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan Tahun 2025 di Klana Resort, di sini, hari ini.
Menurutnya, meskipun pihak berkuasa menyediakan tong sampah di kawasan rekreasi, jumlah pengunjung yang tinggi kadangkala melebihi kapasiti kemudahan disediakan.
“Kadangkala kehadiran pelancong melebihi kemudahan yang kita sediakan. Jadi, saya berharap masyarakat dapat memastikan lebihan makanan atau bekas makanan dibawa pulang dan dibuang di rumah bagi mengelakkan kehadiran binatang yang boleh menjadi punca penyakit,” tambahnya.
Terdahulu, Taman Rekreasi Ulu Bendul, Kuala Pilah ditutup sementara sehingga 17 Mei ini selepas Unit Kawalan Penyakit Berjangkit Pusat Kesihatan Daerah (PKD) menerima tiga notifikasi kes dipercayai berkaitan leptospirosis atau kencing tikus sejak Sabtu lalu.
PKD dalam satu kenyataan memaklumkan verifikasi kes mendapati semua pesakit mempunyai sejarah mengunjungi lokasi berisiko jangkitan di taman rekreasi tersebut, membabitkan satu keluarga yang menjalankan aktiviti air pada 1 Mei lalu.
Siasatan awal mendapati lima ahli keluarga berusia antara empat hingga 10 tahun terdedah selepas mandi di kawasan sungai semula jadi di taman rekreasi itu antara jam 10 pagi hingga 4 petang dengan kadar serangan sekitar 60 peratus.
Mangsa dilaporkan mengalami gejala seperti demam, menggigil, sakit sendi, sakit abdomen, loya, muntah dan cirit-birit sebelum mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Kuarters KLIA pada 8 Mei lalu.
PKD turut memaklumkan hasil analisa makmal mendapati satu sampel tanah di kawasan Taman Rekreasi Ulu Bendul disahkan positif kehadiran bakteria patogenik leptospira yang dipercayai berpotensi menjadi punca jangkitan.



