KKM Pertingkatkan Penguatkuasaan Premis Kesihatan Tidak Berlesen
SEREMBAN: Penguatkuasaan terhadap premis yang menjalankan perkhidmatan jagaan kesihatan tanpa pendaftaran atau lesen sah akan dipertingkatkan susulan peningkatan aduan yang diterima sejak lima tahun kebelakangan ini.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, lebih 1,020 aduan dan pertanyaan berkaitan dakwaan aktiviti rawatan atau perkhidmatan jagaan kesihatan yang dijalankan di premis tidak berdaftar atau tidak berlesen diterima sepanjang tempoh 2021 hingga kini, termasuk yang melibatkan perkhidmatan perubatan estetik.
“Jumlah aduan yang diterima menunjukkan peningkatan setiap tahun, sekali gus mencerminkan kebimbangan masyarakat terhadap isu berkenaan serta keraguan mengenai kelayakan individu yang menyediakan perkhidmatan tersebut.
“Peningkatan aduan ini mencerminkan kebimbangan orang awam terhadap isu berkenaan serta kekhuatiran mengenai kelayakan individu yang menyediakan perkhidmatan tersebut,” katanya.
Susulan aduan yang diterima, sebanyak 320 serbuan telah dilaksanakan ke atas premis yang disyaki beroperasi tanpa pendaftaran atau lesen sah di bawah Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586).
Daripada jumlah itu, sebanyak 126 kertas siasatan dibuka manakala 194 kes lagi dikenakan tindakan amaran dan teguran.
Setakat ini, sebanyak 70 kes sedang atau telah dibawa untuk pendakwaan di mahkamah.
Sehubungan itu, aktiviti penguatkuasaan di bawah Akta 586 akan diteruskan secara berterusan menerusi pemantauan, siasatan termasuk pengintipan berasaskan aduan serta tindakan penguatkuasaan yang lebih berfokus.
Pada masa sama, koordinasi operasi bersama Jabatan Kesihatan Negeri dan agensi penguatkuasaan berkaitan turut diperkukuhkan bagi memastikan tindakan yang lebih berkesan dapat dilaksanakan.
KKM turut mengingatkan bahawa sebarang penyediaan perkhidmatan jagaan kesihatan hanya boleh dijalankan di premis yang berdaftar atau berlesen di bawah Akta 586.
“Penyediaan perkhidmatan jagaan kesihatan di premis tidak berdaftar atau tidak berlesen merupakan suatu kesalahan di bawah Akta 586 dan boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya sekali,” tambah kenyataan itu.
Dalam pada itu, orang ramai serta profesional kesihatan digalakkan menyalurkan maklumat atau aduan melalui saluran rasmi di ckaps@moh.gov.my bagi membolehkan tindakan susulan diambil secara berhemah dan berasaskan bukti.
KKM menasihatkan orang ramai supaya sentiasa peka terhadap nasihat dan kenyataan rasmi yang dikeluarkan berhubung penyediaan perkhidmatan jagaan kesihatan di premis tidak berdaftar atau tidak berlesen.
Hal ini kerana, keselamatan pesakit dan orang awam serta kualiti perkhidmatan jagaan kesihatan kekal menjadi keutamaan pihak kementerian yang perlu dipelihara dan dipertanggungjawabkan bersama oleh semua pihak.



