Berita

SPAN santuni penduduk melalui Townhall Forum Air di Negeri Sembilan

SEREMBAN: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melalui Jawatankuasa Pengguna, Pejabat Operasi Wilayah Selatan dan Seksyen Komunikasi Strategik menyertai Townhall Forum Air Sesi 2/2026 yang berlangsung di Pusat Dakwah Islamiah Paroi.

Program anjuran Forum Air itu bertujuan menyampaikan maklumat terkini berkaitan perkhidmatan air kepada penduduk setempat, mendapatkan maklum balas pengguna serta menyediakan platform interaksi secara langsung antara penduduk dan pemain industri perkhidmatan air.

Sepanjang program, para peserta diberikan taklimat oleh wakil SPAN, Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) dan Indah Water Konsortium (IWK) sebelum sesi diteruskan dengan forum interaktif yang membincangkan pelbagai isu berkaitan perkhidmatan air.

Majlis telah dirasmikan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abdul Rahman.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pengguna SPAN, Datuk Zamri Yusuf, serta Ketua Pegawai Eksekutif SAINS, Dato’ Ir. Mohd Yazid Ahmad.

Pada penghujung program, Forum Air turut mengadakan penyampaian Bakul Rahmah kepada jemputan khas sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial organisasi tersebut.

Forum Air merupakan organisasi yang dilantik bagi melaksanakan aktiviti berkaitan kepentingan pengguna serta berperanan membawa suara dan pandangan pengguna berhubung perkhidmatan air kepada SPAN.

SPAN komited untuk terus memperkukuh pelaksanaan program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA) menerusi kerjasama strategik dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi memastikan maklumat berkaitan perkhidmatan air dapat disampaikan kepada lebih ramai pengguna di seluruh negara.

Show More

Related Articles

Back to top button