Projek Sekolah Menengah Agama Sains Kuala Pilah tepati jadual

KUALA PILAH: Projek pembinaan Sekolah Menengah Agama Sains Kuala Pilah kini berada di landasan yang tepat apabila merekodkan kemajuan sebenar sebanyak 43 peratus, selari dengan kemajuan yang dirancang, sekali gus menunjukkan pelaksanaan projek berjalan mengikut jadual tanpa sebarang kelewatan.
Perkembangan itu dimaklumkan susulan lawatan kerja teknikal yang dilaksanakan oleh Jurutera Daerah selaku Pegawai Penguasa ke tapak projek bagi meninjau sendiri status semasa pelaksanaan serta memastikan setiap aspek pembinaan mematuhi piawaian dan spesifikasi yang ditetapkan.
Menurut beliau, prestasi semasa projek menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan dengan kemajuan sebenar dan kemajuan dirancang masing-masing berada pada tahap 43 peratus.
Dalam lawatan berkenaan, Pegawai Penguasa turut mengingatkan pihak kontraktor supaya terus memperkemaskan perancangan kerja dan lebih proaktif dalam menyusun strategi pelaksanaan bagi memastikan momentum pembinaan dapat dikekalkan.
Beliau turut menekankan kepentingan mengambil kira faktor cuaca, khususnya sepanjang musim Monsun Barat Daya yang berpotensi memberi kesan kepada jadual pembinaan sekiranya tidak dirancang dengan teliti.
Selain itu, kontraktor turut disaran meningkatkan produktiviti dan mempercepatkan pelaksanaan kerja dengan sasaran menyiapkan projek lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.
Langkah itu dilihat penting bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap pelaksanaan sesi Peperiksaan Percubaan SPM di sekolah berkenaan, selain mencerminkan komitmen kontraktor dalam menyampaikan projek berkualiti tinggi secara cekap dan berkesan.
Komitmen berterusan daripada semua pihak yang terlibat diyakini mampu memastikan projek Sekolah Menengah Agama Sains Kuala Pilah berjaya disiapkan mengikut standard ditetapkan, sekali gus memberi manfaat besar kepada sektor pendidikan dan komuniti setempat.



