Berita

Lencongan Sementara FT051 Kuala Pilah Diaktifkan Malam Ini Bagi Kerja Naik Taraf Sistem Pembentungan

SEREMBAN: Laluan lencongan sementara di Jalan Persekutuan FT051 (Seksyen 36.0) berhadapan KFC dan Richiamo Caffè akan diaktifkan malam ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyambungan naik taraf sistem pembentungan di kawasan berkenaan.

Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Noor Zunita Mohd Ibrahim memaklumkan, pengaktifan lencongan tersebut melibatkan semua kenderaan ringan dan berat yang melalui laluan berhadapan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Pilah.

“Lencongan akan dilaksanakan bermula pukul 10.00 malam ini hingga 6.00 pagi pada 4 Jun bagi membolehkan kontraktor konsesi, Selia Senggara Selatan Sdn. Bhd. menjalankan kerja-kerja penyambungan sistem pembentungan (outlet) dengan selamat dan lancar.

“Sepanjang tempoh berkenaan, semua pengguna jalan raya diwajibkan mematuhi laluan lencongan yang telah ditetapkan mengikut Pelan Pengurusan Trafik (TMP) yang diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kegagalan mematuhi arahan lencongan, papan tanda keselamatan serta arahan petugas trafik di lokasi boleh mengundang risiko kemalangan selain tindakan sewajarnya boleh dikenakan.

Beliau yang juga merangkap ADUN Kuala Pilah memberitahu bahawa pelaksanaan kerja berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan memperkukuh infrastruktur awam khususnya melibatkan pembinaan dan penambahbaikan sistem pembentungan demi manfaat jangka panjang kepada masyarakat.

“Walaupun pelaksanaan ini mungkin menimbulkan kesulitan kepada pengguna jalan raya, ia amat penting bagi memastikan keselamatan, keselesaan serta kesejahteraan pengguna pada masa hadapan.

“Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal, menggunakan laluan alternatif yang disediakan serta sentiasa mematuhi papan tanda keselamatan dan arahan petugas sepanjang berada di kawasan kerja,” tambahnya.

Dalam pada itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Pilah memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku dan menghargai kerjasama orang ramai dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek berkenaan demi manfaat bersama.

Show More

Related Articles

Back to top button