Berita

Persediaan Rapi Dibuat Sebelum Pindaan Kewarganegaraan Dilaksana Secara Berhemah

SEREMBAN: Beberapa persediaan penting sedang dilaksanakan kerajaan sebelum pindaan Bahagian III Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan yang telah diluluskan Parlimen dikuatkuasakan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menjelaskan bahawa pindaan berkenaan, yang telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan diwartakan sebagai Akta A1752, memerlukan beberapa persediaan pentadbiran sebelum tarikh kuat kuasa ditetapkan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan mahu memastikan setiap pelaksanaan dasar berkaitan kewarganegaraan dilaksanakan secara teliti, tersusun dan memberi manfaat terbaik kepada rakyat selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Seperti mana-mana undang-undang yang melibatkan perubahan proses pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, akta tersebut memerlukan persediaan menyeluruh bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar, teratur dan dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh kumpulan sasar.

Antara persediaan yang sedang dilaksanakan termasuk penyediaan peraturan dan prosedur permohonan yang lebih jelas, penambahbaikan sistem digital serta pangkalan data bagi memudahkan urusan rakyat.

Selain itu, latihan dan penyelarasan prosedur operasi standard (SOP) kepada pegawai yang terlibat turut dilakukan, di samping program penerangan dan hebahan bagi memastikan maklumat berkaitan pindaan tersebut dapat disampaikan secara tepat kepada masyarakat.

Pada masa sama, kerajaan menjelaskan bahawa Akta A1752 masih belum dikuatkuasakan dan sebarang permohonan berkaitan kewarganegaraan masih tertakluk kepada peruntukan serta prosedur yang sedang berkuat kuasa sehingga tarikh pelaksanaan baharu diumumkan kelak.

Kerajaan juga kekal komited memastikan setiap individu yang layak menerima pertimbangan sewajarnya, selain terus memelihara integriti sistem kewarganegaraan negara dan kedaulatan Perlembagaan Persekutuan.

Sebarang perkembangan berkaitan pelaksanaan pindaan itu akan dimaklumkan melalui saluran rasmi kerajaan dari semasa ke semasa bagi memastikan rakyat menerima maklumat yang tepat dan terkini.

Show More

Related Articles

Back to top button