Berita

Kerajaan Tubuh PPK Teliti Pindaan Kewarganegaraan Berasaskan Data

SEREMBAN: Kerajaan telah menubuhkan Pasukan Petugas Khas (PPK) bagi memastikan setiap cadangan pindaan berkaitan kewarganegaraan diteliti secara menyeluruh sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.

Menerusi hantaran di media sosial Kementerian Dalam Negeri (KDN), penubuhan PPK bertujuan memperkukuh proses semakan dasar melalui pendekatan berasaskan data, kajian empirikal serta penelitian impak terhadap rakyat dan negara.

“PPK berperanan menjalankan kajian menyeluruh terhadap setiap cadangan pindaan dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk kesejahteraan rakyat, perundangan, keselamatan negara serta keberkesanan pelaksanaan dasar pada masa hadapan,” katanya.

Menurut KDN, pendekatan tersebut memastikan setiap keputusan dibuat secara objektif, berasaskan fakta dan tidak bergantung kepada andaian semata-mata.

“Bagi menjamin penilaian yang seimbang, PPK turut melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk pakar perundangan, ahli akademik, pakar dasar, wakil kementerian dan agensi berkaitan, agensi keselamatan serta wakil masyarakat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya.

Antara fokus utama PPK adalah menilai data dan trend semasa, meneliti aspek keselamatan dan kepentingan awam, mengkaji keberkesanan dasar jangka panjang serta memastikan pematuhan kepada Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang negara.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata setiap cadangan pindaan perlu dinilai secara objektif dan berasaskan fakta bagi memastikan keputusan yang dibuat benar-benar memberi manfaat kepada rakyat serta memenuhi keperluan negara.

KDN dalam masa sama menegaskan bahawa pendekatan berasaskan data dan pandangan pelbagai pihak itu penting bagi memastikan setiap dasar yang dirangka adalah praktikal, adil serta memberi manfaat berterusan kepada rakyat dan negara.

Show More

Related Articles

Back to top button