Berita

Percubaan memanggil mesyuarat DKU tidak berperlembagaan dan tidak sah

SEREMBAN: Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan, Raja Norazli Raja Nordin berkata, menurut Fasal 16 (1) dan Fasal 17 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan UUTKNS 1959, DKU tidak terbentuk dengan sempurna sebagai suatu badan tanpa Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Apa-apa percubaan untuk memanggil suatu mesyuarat DKU yang bertentangan dengan peruntukan-peruntukan tersebut dan prosedur DKU yang telah ditetapkan adalah tidak berperlembagaan dan oleh itu tidak sah.

“Sebagai seorang ekskutif DKU, saya adalah terikat untuk bertindak dengan amanah menurut UUTKNS 1959 dan prosedur-prosedur DKU yang telah ditetapkan.

“Oleh yang demikian, saya tidak berkewajipan untuk bertindak atas apa-apa arahan atau permintaan yang tidak konsisten dengan kerangka perlembagaan yang mentadbir DKU,” jelas Raja Norazli.

Menurut beliau lagi, di Bawah Fasal 25 UUTKNS 1959, Setiausaha DKU dilantik oleh dan memegang jawatan atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Tuanku Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Itulah sifat jawatan saya, dan saya adalah terikat untuk mematuhi serta melaksanakan tugas-tugas dan tanggungjawab-tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada saya sehingga ditentukan sebaliknya oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

“Apa-apa tindakan yang diniatkan terhadap saya oleh YTM, YAM dan Tuan Haji merupakan suatu penghinaan yang bertujuan untuk merampas kuasa-kuasa perlembagaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku, dan tidak mempunyai kesan undang-undang.

“Seperti yang YTM, YAM dan Tuan Haji sedia maklum, terdapat prosiding yang sedang berjalan di Mahkamah dalam Saman Pemula No. NA-24NCvC-240-05/2026.

“YTM, YAM dan Tuan Haji tidak boleh bertindak secara sebelah pihak seolah-olah prosiding yang telah dimulakan oleh YTM, YAM dan Tuan Haji tersebut tidak wujud,” kata Raja Norazli.

Raja Norazli berkata, perkara-perkara yang telah dibangkitkan atau yang dicadangkan untuk dibangkitkan oleh YTM, YAM dan Tuan Haji adalah berkaitan secara langsung dengan, dan yang akan menyentuh isu-isu yang sedang menunggu keputusan mahkamah.

“Tindakan-tindakan yang diancam dalam surat YTM, YAM dan Tuan Haji adalah tidak wajar, tidak berperlembagaan, dan menggugat integriti prosiding mahkamah yang sedang berjalan.

“Oleh itu, saya menrizabkan hak saya untuk mengambil segala tindakan undang-undang yang perlu terhadap YTM, YAM dan Tuan Haji.

‘Sehubungan itu, saya dan DKU menrizabkan segala hak undang-undang kami,” ujar beliau.

RUJUKAN:

YTM: Undang Luak Jelebu, Dato’ Maarof Mat Rashad; Undang Luak Johol, Dato’ Muhammed Abdullah dan Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri.

YAM: Datuk Shahbandar Sungei Ujong, Dato’ Seri Utama Badarudin Abdul Khalid.

Tuan Haji: Mubarak Dohak dan Abdul Rahim Yasin.

 

 

 

 

 

 

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button