Berita

Pantai Port Dickson Bersih Sepanjang Aidiladha, SWM Puji Kesedaran Pengunjung

SEREMBAN: SWM Environment merakamkan penghargaan kepada pengunjung yang menunjukkan sikap bertanggungjawab dengan menjaga kebersihan kawasan pantai Port Dickson serta membuang sampah ke dalam tong yang disediakan sekali gus membantu memastikan kawasan rekreasi kekal bersih dan selesa.

Menerusi hantaran di media sosial SWM Environment, inisiatif serta kerjasama yang ditunjukkan orang ramai dalam menjaga kebersihan kawasan pantai khususnya di sekitar Pantai Port Dickson sepanjang sambutan Aidiladha mendapat pujian.

“Keadaan Pantai Port Dickson selepas Aidiladha kekal berada dalam keadaan bersih dan terkawal hasil kesedaran pengunjung serta usaha berterusan petugas kebersihan di lapangan.

“Kerjasama dan sokongan yang diberikan membuktikan bahawa kebersihan pantai adalah tanggungjawab bersama demi memastikan kawasan pantai kekal bersih, selamat dan nyaman untuk dinikmati oleh semua,” katanya.

Dalam pada itu, SWM Environment turut menzahirkan penghargaan kepada para Wirawan Pembersihan Pantai SWM Environment yang komited menjalankan tugas setiap hari tanpa mengira cuaca bagi memastikan pesisiran pantai sentiasa berada dalam keadaan terbaik untuk pengunjung.

“Setiap usaha kecil yang dilakukan hari ini mampu memberi impak besar kepada kelestarian alam sekitar untuk generasi akan datang” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai diseru untuk terus memelihara keindahan pantai dengan mengamalkan budaya tidak membuang sampah merata-rata serta sentiasa menghargai usaha petugas kebersihan yang bertugas di lapangan.

Show More

Related Articles

Back to top button