
AMPANGAN: Usaha memperkasakan kebersihan dan kelestarian alam sekitar terus dipergiat menerusi penganjuran Program Gotong-Royong River Front Ampangan – Stesen 1 Sungai Paroi yang akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 6 Jun.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Dato’ Tengku Zamrah Tengku Sulaiman, program tersebut dianjurkan bagi menggalakkan penglibatan masyarakat dalam menjaga kebersihan sungai dan kawasan persekitaran di samping memupuk semangat kerjasama serta silaturahim dalam komuniti.
“Program itu dimulakan dengan aktiviti Pra Gotong-Royong pada 4 dan 5 Jun sebelum kemuncaknya menerusi Program Gotong-Royong Perdana pada 6 Jun di kawasan River Front Ampangan, Stesen 1 Sungai Paroi.
“Pelbagai aktiviti telah dirancang sepanjang program berkenaan termasuk pembersihan tebing dan kawasan sungai, plogging serta kutipan sampah, penanaman pokok kantan, menceriakan kawasan sekitar, mencantas pokok dan membersihkan laluan awam.
“Selain itu, turut diadakan kempen anti denggi, saringan kesihatan, pemeriksaan keselamatan makanan serta Jualan Rahmah bagi memberi manfaat secara langsung kepada penduduk setempat.
“Setiap usaha kecil yang dilakukan oleh masyarakat mampu membawa perubahan besar terhadap kebersihan dan kesejahteraan kawasan setempat.
“Program gotong-royong bukan sahaja membantu memastikan sungai sentiasa bersih dan terpelihara, malah menjadi platform terbaik untuk mengeratkan hubungan antara penduduk, agensi kerajaan dan pelbagai pihak yang terlibat,” katanya.
Beliau turut mengajak orang ramai supaya hadir bersama keluarga, jiran dan rakan-rakan bagi menjayakan program tersebut demi mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, indah dan membanggakan untuk generasi akan datang.
Program berkenaan membawa slogan ‘Bersih Sungai, Bersih Jiwa. Bersama Kita Jaga, Bersatu Kita Maju’ selaras dengan usaha menjadikan Sungai Paroi sebagai kawasan rekreasi dan komuniti yang lebih lestari.




