Berita

Kerajaan Negeri ambil serius isu serangan lalat berulang di Air Kuning

TAMPIN: Kerajaan Negeri Sembilan mengambil serius aduan penduduk berhubung masalah serangan lalat yang berulang di Air Kuning New Village dan kawasan perumahan sekitar yang didakwa menjejaskan kebersihan, kesihatan awam serta kualiti hidup masyarakat setempat.

Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan, Veerapan Superamaniam berkata, penduduk melaporkan lalat menyerang dalam jumlah besar setiap beberapa minggu dan keadaan itu berlarutan selama dua hingga tiga minggu sebelum reda buat sementara waktu, namun kembali semula selepas itu.

“Berdasarkan aduan yang diterima, penduduk mendakwa punca utama masalah berkenaan ialah sebuah ladang ayam yang terletak berhampiran kawasan perumahan tersebut.

“Susulan itu, pemeriksaan mengejut telah dijalankan bersama agensi kerajaan berkaitan dan hasil pemeriksaan mendapati berlaku pelanggaran syarat operasi oleh pengusaha ladang berkenaan.

“Tindakan telah diambil dengan mengenakan tiga kompaun terhadap pihak terlibat.

“Dalam pada itu, dakwaan yang mengaitkan sebuah ladang babi lama sebagai punca serangan lalat disahkan tidak benar kerana ladang tersebut telah ditutup sejak awal pandemik COVID-19.

“Saya telah mengarahkan Ahli Majlis DAP di Majlis Daerah Tampin untuk membawa isu berkenaan ke mesyuarat rasmi bagi mencari penyelesaian yang lebih menyeluruh, kata Veerapan.

Menurut beliau, sekiranya masalah tersebut terus berlarutan, perkara itu akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri untuk tindakan yang lebih tegas.

“Kesihatan awam adalah keutamaan dan tindakan sewajarnya akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan,” ujarnya.

Sementara itu, penduduk memaklumkan mereka telah mencuba pelbagai kaedah bagi mengurangkan gangguan lalat termasuk menggunakan racun serangga, pelekat lalat dan ubat nyamuk, namun langkah berkenaan hanya memberikan kesan sementara.

Mereka berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan yang lebih menyeluruh agar masalah yang berulang itu dapat diselesaikan secara berkesan dan tidak terus menjejaskan kehidupan harian penduduk.

Kerajaan Negeri Sembilan menegaskan komitmennya untuk memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara dan menggesa semua pihak termasuk pengusaha ladang memberikan kerjasama penuh dalam menjaga kebersihan serta kesihatan awam.

Show More

Related Articles

Back to top button