SEREMBAN: Sebanyak 400 hingga 500 unit kediaman mampu milik di bawah Program Residensi Rakyat (PRR) dijangka dibangunkan di Cempaka Puri, Bandar Baru Nilai susulan penyerahan tanah seluas 10 ekar kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi menjayakan projek berkenaan.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, Arul Kumar Jambunathan berkata, projek yang sebelum ini dikenali sebagai Program Perumahan Rakyat (PPR) itu kini berada pada peringkat akhir kelulusan selepas melalui pelbagai proses perancangan sejak tahun lalu.
Projek berkonsepkan sewa beli atau sewaan itu bakal memberi manfaat besar kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk memiliki kediaman sendiri pada harga yang jauh lebih rendah berbanding kos sebenar pembinaan.
“Kerajaan menanggung subsidi sekitar RM240,000 bagi setiap unit rumah yang mempunyai kos pembinaan dan pembangunan kira-kira RM300,000 seunit.
“Dengan subsidi tersebut, rumah berkenaan dapat ditawarkan kepada pembeli yang layak pada harga sekitar RM60,000 sahaja. Pembeli yang layak hanya perlu membayar sekitar RM200 hingga RM300 sebulan melalui Skim Sewa Beli atau Skim Sewaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, tanah seluas 10 ekar yang bakal menempatkan projek itu merupakan tanah serahan daripada pemaju Bandar Baru Nilai, Putra Nilai Development Sdn Bhd kepada Kerajaan Negeri.
“Selepas beberapa siri perbincangan dengan pihak pemaju, proses penyerahan tanah tersebut berjaya diselesaikan tahun lalu sebelum diserahkan kepada KPKT bagi tujuan pembangunan perumahan rakyat.
“Kerajaan Negeri memilih untuk tidak menggunakan tanah berkenaan bagi tujuan pembangunan komersial atau menjualnya kepada mana-mana individu atau syarikat.
“Sebaliknya, dengan mengambil kira keperluan penyediaan perumahan mampu milik di kawasan Bandar Baru Nilai, Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun dan Kerajaan Negeri bersetuju menyerahkan tanah tersebut kepada KPKT bagi pelaksanaan Projek Residensi Rakyat yang akan dibangunkan sepenuhnya di atas tapak berkenaan,” tambahnya.
Beliau berkata, kawasan itu mempunyai kelebihan dari segi muka bumi yang rata selain telah dilengkapi infrastruktur lengkap dan pelbagai kemudahan asas seperti sekolah, pusat perkhidmatan serta kemudahan awam lain.
Malahan, akses yang baik melalui rangkaian jalan utama turut menjadikan lokasi tersebut amat sesuai untuk pembangunan projek perumahan rakyat.
“Sebagai Exco Perumahan Kerajaan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai, perkara ini merupakan antara keutamaan yang saya berikan perhatian khusus.
“Hasrat utama projek ini adalah untuk membantu lebih ramai keluarga berpendapatan rendah memiliki atau mendiami rumah yang selesa, selamat dan berkualiti dengan kadar bayaran bulanan yang minimum serta mampu ditanggung,” ujarnya.
Beliau berharap projek berkenaan dapat direalisasikan dalam masa terdekat bagi meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat khususnya di kawasan Nilai.



