Berita

Polis Berjaya Rampas Dadah Dan Cecair Vape Disyaki Ketamin Bernilai RM1.444 Juta Di Port Dickson

PORT DICKSON: Kira-kira RM1.444 juta nilai dadah dan cecair vape disyaki mengandungi ketamin berjaya dirampas Polis Negeri Sembilan menerusi dua serbuan berasingan di sekitar daerah ini awal pagi Selasa semalam.

Menurut Ketua Polis Negeri Sembilan, DCP Dato’ Alzafny Ahmad hari ini, operasi yang dijalankan kira-kira jam 3 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson dengan kerjasama Cawangan Khas IPD Port Dickson dan Pasukan Polis Marin Wilayah 2 itu adalah hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti pengedaran dadah.

“Dalam serbuan pertama di perairan Kampung Kuala Lukut, polis menahan dua lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 30-an yang berada di dalam sebuah bot pancung.

“Hasil pemeriksaan menemukan 10 bungkusan dadah disyaki syabu seberat 12 kilogram bernilai kira-kira RM600,000.

“Polis turut merampas sebuah bot pancung tanpa nombor pendaftaran yang dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut,” katanya.

Alzafny berkata, operasi susulan membawa kepada pengesanan sebuah Perodua Myvi di kawasan Tanjung Agas sebelum berlaku kejar-mengejar sehingga kenderaan itu ditinggalkan di kawasan ladang kelapa sawit Pengkalan Kempas, Linggi.

 

“Suspek berjaya melarikan diri namun pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan 12 bungkusan dadah disyaki syabu seberat 14.4 kilogram bernilai kira-kira RM744,000 serta 100 kartrij cecair vape disyaki mengandungi ketamin bernilai kira-kira RM100,000.

“Hasil semakan mendapati suspek yang melarikan diri merupakan lelaki tempatan berusia 42 tahun dan mempunyai enam rekod lampau berkaitan kesalahan dadah,” katanya.

Alzafny berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama manakala usaha mengesan suspek serta mengenal pasti rangkaian sindiket yang terlibat sedang giat dijalankan.

Show More

Related Articles

Back to top button