Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2040 Pacu KDNK Negeri Kepada RM109 Bilion

SEREMBAN: Negeri Sembilan menyasarkan peningkatan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) hampir dua kali ganda kepada RM109.12 bilion menjelang tahun 2040.
Sasaran itu dijangka dicapai menerusi pelaksanaan Draf Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2040 yang bakal menjadi hala tuju pembangunan negeri bagi tempoh 15 tahun akan datang.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, pertumbuhan ekonomi itu akan dipacu oleh pelbagai projek berimpak tinggi termasuk pembangunan di kawasan Malaysia Vision Valley (MVV) 2.0, Zon Pembangunan Ekonomi Seremban dan Port Dickson serta pembangunan sektor pertanian dan pelancongan di daerah-daerah lain.
“KDNK negeri yang kini berada pada paras RM57.01 bilion dijangka meningkat kepada RM109.12 bilion menjelang tahun 2040 selaras dengan pertumbuhan pelaburan dan pembangunan yang dirancang.
“Pertumbuhan ini didorong oleh pelbagai projek berimpak tinggi khususnya di Zon Pembangunan Ekonomi Seremban dan Port Dickson dalam kawasan MVV 2.0 yang menjadi pemangkin utama kepada pembangunan industri, pelaburan dan penggunaan tanah secara strategik.
“Malah, jumlah projek pelaburan dijangka meningkat daripada 295 projek pada tahun 2025 kepada 2,405 projek menjelang tahun 2040,” katanya ketika merasmikan Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2040 di sini, hari ini.
Menurutnya, Negeri Sembilan turut mempunyai kelebihan besar untuk terus berkembang apabila kadar tepu bina negeri masih rendah iaitu sekitar 12.55 peratus.
Ini sekali gus menyediakan ruang luas bagi pembangunan bandar baharu, kawasan perindustrian dan perumahan.
“Pembangunan masa depan negeri tidak boleh hanya berasaskan pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya perlu memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Nilai sebenar kejayaan bukanlah sekadar angka pelaburan atau hasil negeri, tetapi peluang pekerjaan yang diwujudkan untuk anak-anak Negeri Sembilan, peluang perniagaan kepada usahawan tempatan serta peningkatan pendapatan isi rumah rakyat,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga memberi penekanan terhadap pembangunan seimbang merangkumi aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati di semua daerah termasuk kawasan luar bandar.
Dalam masa sama, Aminuddin menyeru rakyat supaya mengambil peluang menyertai sesi publisiti awam bagi memberikan pandangan terhadap draf berkenaan.
“Masa depan Negeri Sembilan bukan milik kerajaan semata-mata. Masa depan negeri ini adalah milik seluruh rakyat.
“Sebab itu suara rakyat perlu didengari dan aspirasi rakyat perlu diterjemahkan ke dalam perancangan pembangunan negeri,” katanya.
Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2040 akan menjadi kompas pembangunan negeri dalam usaha melahirkan sebuah negeri yang lebih maju, berdaya tahan, lestari dan kompetitif menjelang tahun 2040.



