Berita

Kestabilan pentadbiran dan kerjasama strategik asas kemakmuran Negeri Sembilan 2040

SEREMBAN: Kestabilan pentadbiran serta kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terus menjadi pemangkin utama kepada kemakmuran dan pembangunan mampan Negeri Sembilan, khususnya dalam usaha merangka hala tuju negeri menerusi Draf Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2040.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, kesepakatan yang kukuh antara pelbagai peringkat kerajaan membuktikan bahawa kestabilan dalam pentadbiran bukan sahaja menjamin kelancaran pelaksanaan dasar, malah menjadi asas penting dalam membina masa depan negeri yang lebih maju, berdaya saing dan sejahtera.

Menurut beliau, hubungan strategik yang terjalin membolehkan perancangan pembangunan dilaksanakan secara lebih tersusun, inklusif dan berkesan demi memastikan manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat Negeri Sembilan untuk generasi kini dan akan datang.

“Rancangan Struktur Negeri merupakan dokumen dasar pembangunan yang amat penting dalam menentukan corak pembangunan fizikal dan hala tuju masa depan sesebuah negeri.

“Dokumen ini bukan sekadar laporan teknikal atau himpunan dasar di atas kertas, tetapi merupakan kompas pembangunan yang akan memandu perjalanan Negeri Sembilan dalam tempoh 15 tahun akan datang.

“Di dalamnya terkandung pelbagai dasar, strategi dan tindakan yang merangkumi aspek ekonomi, sosial, alam sekitar, infrastruktur, pengangkutan, perumahan serta kesejahteraan rakyat.

“Setiap keputusan yang dirancang hari ini akan memberi kesan kepada kehidupan rakyat pada masa hadapan,” jelas beliau.

Aminuddin berkata demikian di Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2040 di Klana Resort.

Menurut Aminuddin lagi, kajian semula yang dilaksanakan ini turut mengambil kira perubahan besar yang sedang berlaku di peringkat global dan nasional termasuk perubahan iklim, transformasi ekonomi digital, perkembangan teknologi baharu, mobiliti penduduk, keterjaminan makanan, pembangunan rendah karbon serta cabaran urbanisasi yang semakin kompleks.

“Hakikatnya, dunia sedang berubah dengan begitu pantas. Persaingan antara negeri dan negara semakin sengit.

“Teknologi berkembang pada kadar yang luar biasa, manakala cabaran ekonomi global menjadi semakin tidak menentu.

“Dalam keadaan ini, kita tidak boleh merancang masa depan menggunakan pendekatan semalam.

“Justeru, pembangunan Negeri Sembilan perlu digerakkan dengan pendekatan yang lebih pintar, berdaya tahan, inklusif dan mampan.

“Kita bukan sekadar merancang untuk hari ini, tetapi sedang membentuk sebuah negeri yang akan diwarisi oleh generasi akan datang dengan penuh keyakinan dan kebanggaan.

“Negeri Sembilan mempunyai segala kelebihan untuk mencapai aspirasi tersebut,” ujar Aminuddin.

Aminuddin berkata, kedudukannya Negeri Sembilan yang strategik di tengah-tengah Wilayah Tengah, jaringan infrastruktur yang semakin berkembang, sistem pentadbiran yang effisyen serta potensi pembangunan yang luas menjadikan negeri ini berada pada landasan terbaik untuk muncul sebagai antara negeri paling maju dan kompetitif di Malaysia menjelang tahun 2040.

 

 

Show More

Related Articles

Back to top button