Berita

Ringankan Beban Rakyat, Kerajaan Negeri Salur Bantuan Implan Ortopedik Kepada 2 Pesakit

Kerajaan Negeri Sembilan terus komited membantu rakyat yang memerlukan rawatan perubatan khusus apabila dua pesakit menerima Bantuan Implan Ortopedik Negeri Sembilan bagi tahun 2026 dalam sesi penyampaian surat kelulusan di Pejabat Menteri Besar, Wisma Negeri, di sini.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun, inisiatif berkenaan diwujudkan bagi menampung sebahagian kos implan ortopedik sekali gus meringankan beban kewangan pesakit serta keluarga, khususnya dalam kalangan golongan B40 yang terkesan akibat kemalangan atau kecederaan serius.

“Bantuan itu merupakan inisiatif berterusan kerajaan negeri yang diteruskan setiap tahun melalui peruntukan negeri bagi memastikan kebajikan rakyat terus terbela terutama bagi kes-kes yang memerlukan rawatan segera dan kos tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, pesakit pertama ialah Mohd Khairolmizah Mohamad Azmi yang terlibat dalam kemalangan dan sedang menerima rawatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah.

Seorang lagi pesakit, Mohd Firdaus Azrizan turut menerima bantuan selepas mengalami kecederaan akibat kemalangan jalan raya pada tahun 2023 dan akan menjalani rawatan di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS).

Mohd Firdaus difahamkan mengalami kepatahan tulang pinggul kanan dan pernah menjalani pembedahan sebelum ini namun masih berdepan komplikasi kesihatan yang menjejaskan keupayaan untuk bekerja serta memerlukan sokongan keluarga.

Sementara itu, Aminuddin turut meluangkan masa bertanya khabar serta beramah mesra dengan kedua-dua penerima dan ahli keluarga mereka selain menzahirkan keprihatinan terhadap cabaran yang dihadapi pesakit serta keluarga yang menjaga mereka.

“Saya berharap bantuan yang disalurkan dapat melancarkan proses rawatan dan pemulihan penerima di samping memberi kelegaan kepada mereka yang terkesan dengan beban kos perubatan,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri Sembilan memperkenalkan Bantuan Implan Ortopedik sejak tahun 2020 dan diteruskan sehingga kini sebagai inisiatif berterusan bagi membantu pesakit yang memerlukan rawatan ortopedik kritikal.

Inisiatif ini membukti kesungguhan Kerajaan Negeri Sembilan dalam memastikan akses kesihatan berkualiti, terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah dan memerlukan bantuan segera untuk rawatan ortopedik.

Show More

Related Articles

Back to top button