Berita

Pandangan Peribadi di Media Sosial Boleh Jejas Imej Perkhidmatan Awam – Mohd Zafir

Nur Syafiqah Mohd Jemmi

SEREMBAN: Penjawat awam di Negeri Sembilan diingatkan supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan pandangan peribadi di media sosial bagi mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan imej, neutraliti dan integriti perkhidmatan awam.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Dato’ Mohd Zafir Ibrahim menegaskan bahawa setiap tindakan, percakapan dan keputusan penjawat awam mencerminkan keseluruhan imej perkhidmatan awam di mata rakyat.

“Penjawat awam perlu sentiasa berhemah dalam menggunakan platform komunikasi termasuk media sosial serta tidak sewenang-wenangnya berkongsi pandangan peribadi yang boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan atau organisasi.

“Penjawat awam hendaklah sentiasa berhati-hati, berhemah dan tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan pandangan peribadi di platform media sosial atau mana-mana saluran komunikasi yang boleh menjejaskan imej serta neutraliti perkhidmatan awam.

“Ingatlah bahawa prinsip berkecuali, integriti dan profesionalisme adalah tunjang kepada kepercayaan rakyat terhadap kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 Peringkat Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan di Klana Resort, di sini, hari ini.

Menurutnya, sebarang pelanggaran terhadap prinsip tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993] dan bukan sahaja mencalarkan reputasi individu, malah memberi implikasi kepada keseluruhan organisasi serta kerajaan negeri.

Dalam pada itu, beliau menegaskan penjawat awam berkualiti tinggi bukan hanya dinilai berdasarkan kecekapan menyiapkan tugasan, sebaliknya perlu mempunyai semangat berkhidmat, rasa tanggungjawab dan kebijaksanaan membuat pertimbangan.

Mengambil pandangan tokoh sosiologi dan pentadbiran moden, Max Weber, beliau berkata terdapat tiga ciri utama perlu dimiliki penjawat awam iaitu kejituan jiwa atau semangat, kebertanggungjawaban dan pertimbangan yang waras.

“Dalam era perkhidmatan awam yang semakin kompleks, rakyat kini menuntut sistem penyampaian lebih pantas, telus dan mesra, justeru penjawat awam perlu sentiasa meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan mutu penyampaian perkhidmatan,” tambahnya.

Hari ini, seramai 535 pegawai dipilih menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2025 selepas melalui proses penilaian prestasi melibatkan 5,877 pegawai tetap dan kontrak di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan.

Pemilihan dibuat berdasarkan prestasi, disiplin, komitmen dan nilai kerja cemerlang dengan jumlah penerima tidak melebihi lapan peratus daripada keseluruhan anggota perkhidmatan.

Show More

Related Articles

Back to top button