Berita

71 penerima anugerah diiktiraf sempena Majlis Apresiasi Bandaraya Seremban kali ke-2

SENDAYAN: Seramai 71 penerima anugerah menerima pengiktirafan sempena Majlis Apresiasi Bandaraya (MAB) Majlis Bandaraya Seremban Kali Ke-2 yang berlangsung di d’Tempat Country Club, Sendayan, di sini.

Majlis tersebut disampaikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Haji Aminuddin Harun.

“Para penerima anugerah ini merupakan contoh terbaik warga bandaraya yang bukan sahaja menyumbang idea, tenaga dan kepakaran malah menjadi duta kecil kepada Seremban melalui penglibatan aktif dalam bidang sosial, kebudayaan, ekonomi, keusahawanan, pendidikan, kesukarelawanan serta kelestarian alam sekitar,” kata Menteri Besar Negeri Sembilan sewaktu menyampaikan ucapan.

Beliau turut menyempurnakan pelancaran Pelan Strategik Majlis Bandaraya Seremban 2026 hingga 2030, Portal Interaktif Fun Map Seremban serta baju pelancongan “Pesona Seremban” sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.

“Pelancaran Portal Interaktif Fun Map Seremban mencerminkan komitmen Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dalam memanfaatkan teknologi digital bagi memudahkan akses maklumat dan meningkatkan pengalaman pelancong,” katanya.

Menurut beliau, baju pelancongan ‘Pesona Seremban’ pula merupakan pendekatan kreatif untuk mempromosikan tarikan pelancongan, budaya dan keunikan bandaraya Seremban.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan,Dato’ Mohd Zafir bin Ibrahim, Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Seri Haji Jalaluddin bin Haji Alias, Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan, Arul Kumar a/l Jambunathan, Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan Dato’ Muzalmah binti Mustapha Kamal  serta Pegawai Kewangan Negeri Sembilan, Dato’ Masri bin Razali.

Turut hadir ialah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seremban, Dato’ Ir. Ts. Haji Masri bin Baharuddin, Ahli-ahli Majlis MBS, barisan ketua jabatan serta ketua unit MBS.

Menteri Besar Negeri Sembilan menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai atau kakitangan MBS yang terlibat dalam rasuah, salah guna kuasa, penyelewengan atau apa-apa bentuk salah laku integriti.

“Tiada perlindungan, tiada kompromi dan tiada toleransi. Tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil tanpa mengira jawatan atau kedudukan,” tegas beliau.

Majlis ini juga menjadi platform untuk menekankan aspirasi bandaraya pintar dan rendah karbon menjelang 2027.

“Sekurang-kurangnya 80 peratus perkhidmatan utama MBS akan dilaksanakan secara digital. Tempoh kelulusan lesen dan permohonan akan dipendekkan, penggunaan sistem data bersepadu diperkukuh dan pelaksanaan inisiatif pengurangan pelepasan karbon bandar melalui kecekapan tenaga, pengurusan sisa mampan serta galakan mobiliti hijau akan dipertingkatkan”tambahnya lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button