Amanat Tahun 2026 oleh Perdana Menteri

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menyampaikan hala tuju dan inisiatif yang akan menggerakkan pentadbiran Kerajaan MADANI sepanjang tahun 2026 ini.
Anwar berkata, usaha reformasi kekal menjadi tunjang untuk membina semula institusi negara dan memastikan pimpinan dipertanggungjawabkan sepenuhnya kepada rakyat.
“Antara reformasi utama yang akan dilaksanakan ialah pemisahan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara, had tempoh jawatan Perdana Menteri, penubuhan institusi Ombudsman serta penggubalan Akta Kebebasan Maklumat.
“Langkah-langkah ini penting bagi mengukuhkan asas negara hukum yang lebih telus dan berintegriti.
“Kerajaan MADANI juga akan meneruskan usaha meningkatkan kecekapan pentadbiran dengan memperkemas birokrasi, mempercepatkan pendigitalan perkhidmatan awam, dan menyegerakan projek-projek rakyat seperti membaiki sekolah dan klinik daif, menutup jalan berlubang serta menambah lampu jalan.
“Dalam masa yang sama, kebajikan rakyat kekal sebagai teras pentadbiran MADANI,” ujarnya.
Menurut Anwar lagi, bantuan bersasar, sokongan kos sara hidup, peningkatan gaji penjawat awam serta inisiatif pendidikan dan kesihatan dilaksanakan bagi memastikan hasil pertumbuhan ekonomi kembali kepada rakyat.
“Kesemua langkah ini saling melengkapi untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan, memperkukuh keyakinan pelabur, dan memastikan kemakmuran negara dapat dinikmati secara lebih adil oleh seluruh rakyat.
“Semoga usaha reformasi dan inisiatif untuk rakyat ini mengukuhkan usaha kita untuk menjamin masa depan Malaysia yang lebih adil dan bermaruah untuk semua,” jelas beliau.
Berikut ringkasan Amanat Tahun 2026 Perdana Menteri:
PERUNDANGAN dan REFORMASI (PEMBENTANGAN RUU)
Pemisahan Kuasa: RUU untuk mengasingkan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara akan dibentangkan di Parlimen bermula sesi Januari 2026.
Had Tempoh Perdana Menteri: RUU menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun (dua penggal) akan dibentangkan.
Akta Ombudsman: RUU bagi mewujudkan institusi akauntabiliti awam akan dibentangkan dalam sesi Parlimen tahun ini.
Kebebasan Maklumat (FOI): RUU FOI akan dibentangkan tahun ini untuk kelulusan Parlimen (kecuali isu keselamatan/risikan).
TARIKH PENTING BANTUAN DAN TUNAI (PENGKREDITAN)
SARA: Kredit bulanan RM200 bermula 9 Januari 2026.
STR Fasa 1: Bayaran sehingga RM500 bermula 20 Januari 2026.
Kredit RM100: Kepada 22 juta rakyat (18 tahun ke atas) pada 9 Februari 2026.
Jualan Rahmah: Bermula 9 Jan 2026 (tiga kali sebulan di setiap DUN).
Bantuan Sekolah: RM150/pelajar; ibu bapa wajib hadir ke sekolah untuk tuntutan.
CUKAI DAN PERUSAHAAN MIKRO, KECIL DAN SEDERHANA (PMKS)
Cukai Sewaan: Kadar cukai perkhidmatan diturunkan dari 8 peratus kepada 6 peratus.
Ambang Pengecualian: Had pengecualian cukai perkhidmatan PMKS dinaikkan kepada RM1.5 juta nilai jualan tahunan.
E-Invoice: Tempoh peralihan tanpa penalti dilanjutkan satu tahun (sehingga akhir 2026).
Duti Setem: Program pengakuan sukarela selama enam bulan bermula 1 Januari – 30 Jun 2026.
Dana Bumiputera: RM10 bilion diperuntukkan khusus untuk PMKS Bumiputera melalui SJPP.
PENJAWAT AWAM DAN KERJA
Digitalisasi: Arahan semua urusan secara Online; penggunaan AI untuk draf surat bagi menjimatkan masa.
Kenaikan Gaji: Melibatkan kos RM18 bilion (termasuk kenaikan gaji Hakim 30 peratus kerana tiada semakan 10 tahun).
Projek Kecil: RM2.4 bilion untuk kontraktor G1-G4 (jalan desa/klinik/kuarters); perolehan dipermudah (lantikan terus hingga RM200,000).
PENDIDIKAN DAN INFRA NEGERI
Sekolah Agama: RM200 juta segera untuk Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan Tahfiz.
Sekolah Vernakular: RM80 juta (SJKC) dan RM50 juta (SJKT) untuk sekolah daif.
MA63: Peruntukan pembangunan tertinggi untuk Sabah (RM6.9 bilion) dan Sarawak (RM6 bilion).
INTEGRITI DAN PASARAN
Rasuah: Arahan tegas kepada SPRM/PDRM/LHDN bertindak tanpa kecuali (termasuk orang besar/kaya).
Harga Barang: Amaran kepada kartel besi, simen, dan ayam; kerajaan sedia longgarkan syarat import jika harga dinaikkan secara tidak munasabah.



