BeritaNaratif Kito

Atas semangat kongsi kuasa, Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan terus kukuh

Ahmad Shahir Mohd Shah

Orang-orang tua kita dulu pandai berunding. Mereka ajar kita berunding untuk capai kata sepakat.

Orang tua kita tunjuk contoh dan kita yang anak-anak ini ada panduan. Orang tua kita bukan ajar teori.

Mereka ajar secara tauladan. Berunding maksudnya berbincang elok-elok. Bukan bertumbuk atau bergocoh bak kata orang Kelantan.

Tapi kalau orang tua kita tidak pandai berunding, orang muda pun boleh berunding.

Bukan semua orang muda tidak pandai berunding. Ada yang boleh memimpin. Ada yang bijak berunding. Cuma ramai yang gelojoh.

Ada zaman, orang tua jadi punca negara rosak. Ada zaman, orang muda jadi beban negara. Bukan soal muda atau tua.

Soalnya, kalau kita ada amanah memimpin, berunding adalah seni politik yang paling akan menentukan kejayaan sesebuah kerajaan.

Selepas PRU-15, Tuanku Abdullah yang ketika itu adalah Yang Di-Pertuan Agong, mengajar kita berunding.

Alhamdulillah, Anwar Ibrahim yang terkenal sejak zaman belajar sebagai orang aktivis jalanan yang selalu menggunakan medium “unjuk rasa” akhirnya menerima titah Sultan Abdullah.

Bukan kerana titah itu Anwar Ibrahim bersetuju berunding. Tetapi besar impaknya kalau berunding. Akhirnya terbentuklah Kerajaan Perpaduan.

Ada yang dengan angkuh terus menolak rundingan dan akhirnya masing-masing berpolitik yang akhirnya merugikan rakyat.

Apa yang berlaku di Negeri Sembilan? 17 kerusi DUN milik Pakatan Harapan. 14 Kerusi DUN milik Barisan Nasional. tiga milik PAS dan dua milik Bersatu.

Terbentuklah Kerajaan Perpaduan dengan 31 kekuatan ADUN dari dua blok besar parti politik.

Adakah ia stabil? Sangat stabil. Adakah boleh berubah kerajaan?

Mungkin jika ada yang melihat laba politik dari keperluan hari ini.

Masing-masing parti politik sedang mengalami “defisit” kepercayaan rakyat dan ahli parti.

Itu adalah “Rahsia umum”. Semua orang tahu.

Jika 31 orang ADUN ini tidak muafakat, Negeri yang sedang hebat membangun ini boleh jadi padang jarak padang tekukur.

Alhamdulillah, setakat ini semuanya masih berada pada landasan yang betul.

Ini kerana, hanya di Negeri Sembilan, matlamatnya jelas.

Negeri Sembilan bukan seperti negeri lain. Jangan kerana orang luar, segala persepakatan yang dibuat dibiarkan. Dua parti ini ada pemimpin yang dilantik.

Pakatan Harapan di bawah Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun.

UMNO di bawah Datuk Seri Jalaluddin Alias. Berikan kepercayaan kepada dua sosok tubuh ini.

Sudah pasti mereka berdua ada hala tuju politik masing-masing.

Tetapi sudah tiga tahun mereka duduk semeja hampir setiap minggu dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri, banyak perkara dapat diselesaikan.

Asasnya, Negeri Sembilan terlebih dahulu menyelesaikan pembahagian kuasa di peringkat akar umbi. Baik JPKK mahupun Ahli Majlis.

Ahli bawah marah? Itulah peranan pimpinan parti.

Beri kefahaman dan penjelasan bahawa ini adalah perkongsian kuasa.

Selagi kita berkongsi, dengan kuasa yang ada kita boleh buat perubahan.

Kerana orang diluar sedang sakit mata dengan persepakatan kita. Baik yang bekas UMNO yang dah masuk Bersatu, termasuklah kawan-kawan PAS yang berdepan dengan krisis kepimpinan seperti di Perlis.

Ahmad Shahir Mohd Shah
Ketua Editor
Setiausaha Akhbar YAB Menteri Besar Negeri Sembilan

Show More

Related Articles

Back to top button