
SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun telah membentangkan Belanjawan Negeri Sembilan 2026 dengan tema ‘Belanjawan Madani, Rakyat Harmoni’ dengan menggariskan 69 inisiatif iaitu sebanyak 23 inisiatif baru dan 46 inisiatif sedia ada yang ditambah baik.
Untuk rekod lepas, sebanyak 214 inisiatif telah dilaksanakan sejak tahun 2019 sehingga tahun 2025.
Kejayaan yang dicatat ini lebih bermakna apabila Negeri Sembilan berjaya mencatat rekod Surplus bagi empat tahun berturut-turut iaitu 2022 sehingga 2025.
Untuk itu, bagi tahun 2026, dengan derap langkah yang lebih meyakinkan, Kerajaan Perpaduan Negeri Sembilan membentangkan Belanjawan Defisit dengan Anggaran Hasil sebanyak RM610 juta dan Anggaran Belanjawan Mengurus sebanyak RM640 juta, di mana jumlah ini turut merangkumi Anggaran Belanjawan Pembangunan sebanyak RM150 juta.
Belanjawan Negeri Sembilan 2026 akan memfokuskan kepada sembilan Bidang Tumpuan seperti berikut:
i. Bidang Tumpuan Pertama: Kemampanan Ekonomi dengan peruntukan sebanyak RM6.70 juta;
ii. Bidang Tumpuan Kedua: Keterjaminan Makanan dengan peruntukan sebanyak RM5.76 juta;
iii. Bidang Tumpuan Ketiga: Pendidikan dengan peruntukan sebanyak RM28.81 juta;
iv. Bidang Tumpuan Keempat: Pemerkasaan Komuniti dengan peruntukan sebanyak RM25.17 juta;
v. Bidang Tumpuan Kelima: Kerohanian dan Agama dengan peruntukan sebanyak RM16.05 juta;
vi. Bidang Tumpuan Keenam: Pemerkasaan Wanita, Belia dan Sukan dengan peruntukan sebanyak RM13.10 juta;
vii. Bidang Tumpuan Ketujuh: Pelancongan, Adat dan Budaya dengan peruntukan sebanyak RM13.05 juta;
viii. Bidang Tumpuan Kelapan: Kelestarian Alam Sekitar dengan peruntukan sebanyak RM1.83 juta; dan
ix. Bidang Tumpuan Kesembilan: Kebajikan dan Kesihatan dengan peruntukan sebanyak RM2.34 juta.

Bagi halatuju pembangunan Negeri Sembilan, terdapat enam sektor yang akan digerakkan bagi mencapai tujuan tersebut adalah seperti berikut:
i. Sosial :RM73.85 juta
ii. Pentadbiran :RM26.98 juta
iii. Infrastuktur :RM22.39 juta
iv. Pertanian :RM12.19 juta
v. Kerohanian :RM9.88 juta
vi. Pelancongan :RM4.7 juta
Bermula tahun 2023, Kerajaan Perpaduan terus komited menyelesaikan janji-janji Manifesto Kerajaan Perpaduan.
Skim Sejahtera Rakyat (SSR) antara isi kandung menifesto Kerajaan Perpaduan akan diteruskan dengan peruntukan sebanyak RM29.75 juta dengan melibatkan pelbagai kumpulan sasar dari bayi sehingga warga emas.
Komitmen ini berjaya dilaksanakan saban tahun atas usaha yang komited dari seluruh ADUN – ADUN Kerajaan Perpaduan yang turun sehingga akar umbi bagi menyampaikan setiap inisiatif yang memberikan kegembiraan kepada rakyat Negeri Sembilan.
Dengan terlaksananya seluruh perancangan bagi tahun 2025, ini merupakan satu simbol kesepaduan dan hasil kesungguhan setiap kakitangan awam Kerajaan Negeri Sembilan yang mencurahkan tenaga dan keringat bagi melicinkan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.

Kedudukan rizab Negeri yang kukuh di samping kutipan hasil yang signifikan berbanding tahun-tahun sebelumnya membolehkan Kerajaan Negeri memberikan Bantuan Khas Kewangan (BKK) berdasarkan prestasi, terhad kepada maksimum tiga bulan gaji dan minimum dua bulan gaji kepada semua penjawat awam yang berada di bawah Pentadbiran Kerajaan Negeri yang akan dibayar pada bulan Januari dan sebelum Aidilfitri pada bulan Mac tahun 2026.
Manakala BKK berdasarkan prestasi akan dibayar pada bulan Jun 2026.
Penghargaan ini turut dipanjangkan kepada semua penjawat awam Negeri, Badan Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.
Belanjawan Negeri Sembilan 2026 bukanlah sekadar angka dan data yang menunjukkan hasil perbelanjaan Negeri.
Tetapi ia dibentuk dengan melihat setiap inci dan sudut yang membolehkan Negeri Sembilan terus dipacu dengan lebih baik untuk generasi hari ini dan generasi akan datang.
Setiap dari lapisan rakyat dan jentera kerajaan adalah penyumbang utama kepada hasil dan kelancaran pelaksanaan perkhidmatan kerajaan.
Pelaksanaan semua inisiatif ini akan mula digerakkan bermula tahun 2026.
Semoga usaha ini akan terus mendapat sokongan dan dokongan dari rakyat Negeri Sembilan.



