Bola Sepak Malaysia Perlu Kekal Relevan, Perbincangan Khas Antara Kelab Diperlukan
Menteri Besar Negeri Sembilan menyokong usaha perbincangan bersama kelab bola sepak Malaysia bagi memastikan kelangsungan liga bola sepak negara dan negeri terus relevan.
Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, perbincangan itu perlu menumpukan perhatian terhadap jurang kewangan antara kelab yang kukuh dan kelab yang menghadapi masalah dana terutamanya dalam mendapatkan penajaan daripada syarikat-syarikat terlibat.
“Kita maklum bahawa penaja sendiri mempunyai tanggungjawab dan komitmen tahunan namun situasi ini menimbulkan cabaran berterusan kepada kelab yang kurang berkemampuan. Jadi kita merasakan perbincangan khusus perlu diadakan termasuk mengambil kira pandangan kelab Selangor supaya liga bola sepak dapat berlangsung dengan lebih baik, lebih adil dan memberi keyakinan kepada penyokong untuk terus menyokong pasukan masing-masing,” katanya.
Aminuddin menegaskan, perbincangan ini juga bertujuan mencari penyelesaian jangka panjang supaya liga tempatan dapat dipertahankan tanpa menjejaskan standard kompetitif dan profesionalisme.
“Bagi pihak saya, saya telah bersetuju supaya Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus, mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menggerakkan perbincangan ini dan mendapatkan sokongan semua pihak berkaitan termasuk kelab-kelab seperti Selangor,” katanya kepada pemberita sewaktu Sidang Media Pasca Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Sembilan.
Langkah ini dilihat penting untuk memastikan kelab-kelab bola sepak dapat beroperasi secara mampan sekali gus mengekalkan keyakinan penaja, pemain dan penyokong terhadap liga tempatan.




