Ceramah Ustaz Wadi Annuar batal, jangan fitnah saya: AMINUDDIN

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, beliau tiada kaitan dengan isu pembatalan ceramah Ustaz Wadi Annuar di Masjid Sri Sendayan, sebaliknya ia adalah urusan pihak masjid dan konsultan.
“Saya tidak tahu menahu, saya tiada kaitan, saya tidak terlibat.
“Saya tidak pernah diberitahu ada program tersebut.
“Jangan fitnah saya,” katanya.
Aminuddin berkata, beliau terkejut apabila timbul dakwaan kononnya beliau tidak membenarkan ceramah berkenaan.
“Kalau ada pihak rasa teraniaya, saya harap mereka beri penjelasan supaya tidak timbul fitnah kerana hukum fitnah sangat besar,” katanya dalam Sidang Media Pasca Mesyuarat Exco di Wisma Negeri hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembatalan ceramah Ustaz Wadi Annuar sebagai penceramah utama bagi program ‘Healing de’Masjid’ di Masjid Sri Sendayan yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini.